[VIDEO] Sanusi ingatkan FAM tak ikut telunjuk 'pihak tertentu', ukur baju di badan sendiri


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Sanusi mengingatkan badan induk bola sepak negeri itu supaya memiliki pendirian sendiri. — Facebook/KDA FC

SEBELUM Kedah Darul Aman (KDA) FC berpindah tampuk kepimpinan pada 2022, mereka sebelum itu berada di bawah pengurusan kerajaan negeri yang dinaungi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Sepanjang tempoh tersebut, kelab Utara tanah air itu menyaksikan beberapa presiden organisasi menerajui kepimpinan, namun yang sudah tentu yang paling diingati ialah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ini kerana Menteri Besar Kedah tersebut pernah terpalit dengan kontroversi apabila bertikam lidah dengan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada musim terakhir penglibatannya.

BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi

BACA LAGI: [VIDEO] Baddrol meriahkan majlis kahwin Rizal Ghazali, sempat singgah rai Sanusi sambut menantu

Sanusi yang merupakan Presiden KFA tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pandangan. Facebook/Kedah FA

Selain itu, Sanusi juga cukup dikenali sebagai seorang yang amat meminati bola sepak kerana tidak pernah putus menyuarakan kegusaran mengenai landskap sukan berkenaan.

Antara topik kerap diulas adalah berhubung peningkatan kos operasi yang semakin meningkat saban tahun dengan situasi itu menyukarkan kerajaan negeri untuk terus menguruskan kelab.

Hal itu sekali lagi ditekankan baru-baru ini menerusi satu ucapan yang mengatakan landskap bola sepak negara sudah tidak lagi diuruskan sebaik mungkin kerana terdapat faktor campur tangan.

"Saya daripada awal lagi sudah menyebut bahawa kita tidak mampu mengikuti standard ditetapkan pihak tertentu. Akhir-akhir ini, kita dapat lihat hampir semua negeri mengalami nasib sama.

"Ini kerana kita ikut standard yang bukan atas kemampuan sendiri, kita tidak memakai baju saiz sendiri atau mengukur baju di badan orang lain. Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah pemain, pasukan serta peminat dan kesalahan diletakkan pada saya," katanya.

Tidak boleh dinafikan bahawa pandangan dilontarkan Sanusi itu adalah tepat kerana dalam saingan Liga Super musim ini, hampir separuh daripada kelab bertanding terpalit dengan isu gaji.

Ini termasuk KDA FC yang mengalami masalah berkenaan sehingga menimbulkan kemungkinan pasukan itu tidak akan bersaing dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum memberi kata putus.

Sanusi yang masih berkhidmat sebagai Presiden KFA turut menunding jari ke arah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sambil mengingatkan badan induk itu supaya mengukur baju di badan sendiri.

"Selagi FAM masih berpegang pada peraturan itu, bola sepak tidak akan berkembang dan akhirnya, kerajaan negeri dipersalahkan? Baru-baru ini, Perak FC dilaporkan 'bungkus', tetapi saya tak salahkan kerajaan negeri Perak.

Masa depan skuad Sang Kenari dalam arena bola sepak tanah air terus menjadi tanda tanya. Facebook/KDA FC

"Ini kerana ia bukan tanggungjawab mereka, samalah dengan kita. Namun, orang ramai masih salahkan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada gerakan yang ada membangunkan organisasi bukan kerajaan (NGO), sambutan Aidilfitri dan kutip duit untuk diberi kepada pemain.

"Ada juga himpunan bekas pemain yang dibangunkan untuk membantu pasukan. Saya tidak tahu modus operandi, tetapi semua usaha untuk menghidupkan semula bola sepak di Kedah perlu dihargai," katanya.

Meskipun KFA tidak lagi menguruskan kelab Liga Super di negeri itu, mereka masih bertanggungjawab dalam program pembangunan bola sepak serta pasukan futsal yang kini bersaing dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

Dana dilaburkan itu sudah tentu cukup membebankan kerajaan negeri yang membuatkan mereka sukar untuk menyediakan lebih banyak peruntukan buat KDA FC yang menelan kos operasi jutaan ringgit setiap bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram