Lebih bersedia musim depan tapi NSFC perlu elak jadi 'rumah persaraan' otai Selangor, Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Skuad Jang memerlukan pemain yang bukan sahaja berpengalaman tetapi mampu memberi impak besar dalam permainan.

SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan status selaku kuasa dominan bola sepak tempatan selepas mencatat kejuaraan ke-11 dalam saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M).

Bagi Negeri Sembilan FC (NSFC), meskipun menamatkan kempen di tangga ke-12, skuad Jang kini dilihat lebih bersedia untuk menghadapi musim baharu.

Pelbagai usaha dilihat akan dilakukan termasuk merekrut beberapa pemain baharu bagi memperkukuh pasukan dan memperbaiki prestasi keseluruhan.

BACA LAGI: Sukar tembus '1st Eleven', hanya panaskan bangku simpanan antara resahkan fans TFC andai Safawi Rasid kembali ke JDT

BACA LAGI: Penang FC bercita-cita besar ke pentas Asia, siap ada 'bayangan' skuad utama musim depan

Namun begitu, NSFC perlu berhati-hati agar tidak menjadi destinasi terakhir buat pemain-pemain veteran yang berada di penghujung karier mereka.

Pasukan perlu menyeimbangkan pengalaman dengan tenaga muda untuk kekal kompetitif dalam Liga Super.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dilihat berpotensi untuk menjadikan NSFC sebagai 'tempat persaraan' berdasarkan usia mereka yang semakin meningkat dan situasi semasa karier masing-masing.

1. J. Partiban

J. Partiban, 32, merupakan antara pemain yang disebut bakal berhijrah ke NSFC selepas menampilkan prestasi yang konsisten bersama Kuala Lumpur City FC (KL City).

Sebagai pemain sayap, tonggak The City Boys itu masih menunjukkan keupayaan untuk bersaing di tahap tertinggi.

Namun begitu, amat rugi sekiranya kehadirannya ke NSFC hanya bertujuan untuk menamatkan karier.

Tonggak KL City FC, J.Partiban. Facebook/KLCityfc

NSFC memerlukan pemain yang bukan sahaja berpengalaman tetapi mampu memberi impak besar dalam permainan dan membantu memacu pasukan keluar dari zon bawahan liga.

Partiban seharusnya dilihat sebagai aset penting dalam misi kebangkitan NSFC bukan sekadar pelengkap skuad.

Pengalaman dan kematangannya boleh dimanfaatkan untuk membimbing pemain muda serta memberi kestabilan kepada barisan serangan.

2. Khuzaimi Piee

Bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee atau Jimmy turut dikaitkan dengan kepulangan ke NSFC.

Meskipun sudah mencecah usia 31 tahun, pengalaman luas dan ketenangan yang dimilikinya masih sangat berharga di posisi pertahanan.

Kepulangannya ke Negeri Sembilan tidak wajar dianggap sebagai langkah persaraan.

Khuzaimi Piee dilihat bakal kembali ke pangkuan NSFC. Facebook/Selangorfc

Sebaliknya, ia harus dijadikan peluang untuk menyumbang secara aktif dalam memperkukuh benteng pertahanan skuad Jang yang dilihat rapuh musim lalu.

Kehadiran Khuzaimi sepatutnya diterima berdasarkan kualiti yang dibawanya, bukan semata-mata kerana statusnya sebagai anak jati Negeri Sembilan.

Jimmy mampu menjadi tunjang utama dalam membina semula kekuatan pertahanan pasukan.

3. Syafiq Ahmad

Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad turut hangat dikaitkan dengan perpindahan ke NSFC selepas musim sukar bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Kekurangan minit permainan serta prestasi yang tidak menentu telah mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya ke kelab lain.

NSFC dilihat sebagai destinasi yang berpotensi untuk Syafiq menghidupkan semula kariernya. 

Namun, dia tidak seharusnya melihat langkah tersebut sebagai titik akhir. 

Syafiq Ahmad dilihat memiliki potensi besar untuk mengembangkan kariernya bersama NSFC. — Facebook/KDAFC

Syafiq masih berada dalam usia kemuncak sebagai penyerang dan berpeluang untuk bangkit semula jika diberikan peranan yang sesuai dan konsisten.

Dengan perancangan dan komitmen yang tepat, NSFC boleh menjadi platform kebangkitan buat Syafiq bukan hanya sebagai tempat singgah terakhir dalam karier profesionalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram