
DALAM dunia bola sepak profesional, perubahan kelab bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ada sahaja situasi pemain sering berpindah dari satu pasukan ke pasukan lain atas pelbagai faktor termasuk taktikal, pengurusan, atau keperluan peribadi.
Namun, tidak semua perpindahan membawa hasil yang diharapkan. Ada yang terus merudum, tetapi ada juga berjaya menemui semula sentuhan emas mereka selepas menemui destinasi baharu.
Fenomena pemain yang 'hidup semula' selepas berpindah kelab telah menjadi sorotan menarik dalam Liga Super Malaysia apabila prestasi mereka melonjak secara mendadak hingga menjadi tonggak utama pasukan baharu.
BACA LAGI: 'Jangan ulangi silap lama', Kedah wajar berehat semusim dari Liga Super elak kewangan terus tenat
BACA LAGI: JDT boleh panggil semua pemain pinjaman, bentuk skuad kedua meriahkan Liga Super musim depan
Faktor perubahan ini bukan semata-mata terletak pada keupayaan individu pemain, tetapi turut melibatkan aspek sokongan taktikal jurulatih, suasana bilik persalinan, serta keyakinan yang diberikan oleh pengurusan baharu.
Ada yang mula menjaringkan gol secara konsisten, membantu pasukan mengutip mata penting, malah dipanggil semula menyarung jersi kebangsaan.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa perubahan persekitaran mampu mengubah nasib seorang pemain.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga kisah pemain yang diibaratkan mendapat peluang kedua selepas berhijrah ke pasukan lain;
1) Fernando Welter
Welter pernah bermain untuk Penang FC. — Facebook/PenangFC
Nama Fernando Welter mungkin agak asing dalam kalangan penyokong Liga Super namun pemain kelahiran Brazil itu merupakan antara watak utama kebangkitan Kuching City FC pada musim 2024/2025.
Kecemerlangan pemain berusia 22 tahun berkenaan dalam 13 perlawanan bersama skuad The Cats membuatkan Welter tersenarai sebagai pilihan pemenang untuk kategori kesebelasan Fans XI dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.
Dalam perlawanan persahabatan menentang Perak FC pada musim lalu, Welter menerima pujian daripada penyokong dan turut disebut-sebut sebagai salah seorang pemain yang berada dalam radar Penang FC.
Namun, takdir berkata lain apabila Penang FC memutuskan untuk tidak mengambilnya dalam pasukan bagi musim 2024/2025. Walaupun begitu, rezeki berpihak kepada Welter apabila The Cats memutuskan untuk membawa pemain kelahiran Brazil berkenaan ke dalam pasukan mereka.
2) J. Partiban
Partiban cemerlang bersama Perak FC. — Facebook/PerakFC
J. Partiban merupakan antara pemain sayap tempatan yang memiliki kepantasan dan ketangkasan. Namun, ketika bersama Terengganu FC (TFC), kelibatnya tidak begitu menonjol meskipun memiliki rekod prestasi yang memberangsangkan di peringkat awal karier.
Persaingan sengit dalam pasukan menjadikan dia lebih banyak berada di bangku simpanan berbanding kesebelasan utama dengan Partiba hanya merekodkan sembilan aksi domestik sepanjang dua musim (2017-2018).
Pemain kelahiran Tambun, Perak itu akhirnya menandatangani kontrak bersama skuad The Bos Gaurus pada 2019 yang ketika itu dibimbing oleh Mehmet Durakovic sekaligus menyarung jersi Kuning Hitam sehingga pertengahan musim 2021.
Penyertaan Partiban bersama Perak FC membawa impak segera kepada pasukan. Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, dia menjadi antara watak penting dalam jentera serangan.
Selama dua musim setengah bersama skuad Seladang, Partiban merekodkan 39 perlawanan dengan merekodkan tujuh jaringan gol dan tiga bantuan jaringan.
Hasilnya, Partiban berjaya membantu Perak menjadi naib juara Piala FA dan Piala Sumbangsih.
3) Samuel Somerville
Samuel membantu Penang memenangi Liga Perdana 2020. — Facebook/PenangFC
Penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville mula menyinar ketika bersama Penang FC apabila dia menyertai pasukan itu pada musim 2020 dan membantu Harimau Kumbang memenangi saingan Liga Perdana 2020 sekali gus dipromosikan ke saingan Liga Super musim 2021.
Pemain berusia 30 tahun itu terus menampilkan prestasi cemerlang apabika membantu Penang menamatkan saingan liga di tangga ketiga, dua mata di belakang Kedah Darul Aman yang menduduki tempat kedua dan tiga mata di hadapan Terengganu yang menghuni tangga keempat.
Aksi cemerlang bersama Penang juga berjaya membuka mata bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk memanggil Samuel bagi beraksi dalam perlawanan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebelum bersama Penang, Samuel atau mesra dengan sapaan Sam merupakan penjaga gol Johor Darul Ta'zim II selama empat musim (2016-2019) namun terpaksa berhijrah apabila skuad simpanan itu hanya mahu menggunakan bakat muda.
Kini, Samuel merupakan penjaga gol Selangor FC dengan dia membantu Gergasi Merah mara ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim 2023 dan 2024/2025, selain menjadi naib juara Liga Super selama dua musim berturut-turut (2023-2024/25). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram