
MESKIPUN ditundukkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu lalu, persembahan ditampilkan Sri Pahang FC masih menerima pujian kerana pasukan itu mencurahkan usaha 100 peratus sepanjang 90 minit permainan.
Ini termasuk pemain tengah muda, Ibrahim Manusi yang diletakkan dalam kesebelasan utama oleh pengendali, Fandi Ahmad dalam usaha mematahkan serangan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Tugasan itu dipikul dengan cemerlang sepanjang 85 minit dia berada di atas padang dengan beberapa terjahan berani dilakukan, termasuk ke atas pemain utama lawan, Arif Aiman Hanapi.
BACA LAGI: Bukan saja Akmal Rizal, legenda Harimau Malaya juga tabik Ibrahim Manusi, harap diberi peluang
BACA LAGI: Selangor patut bawa pulang anak jati Paya Jaras sebagai jeneral Gergasi Merah
Ibrahim (kanan) bekerja keras untuk mengekang skuad Harimau Selatan. — Facebook/Sri Pahang FC
Tidak terhenti di situ, keberadaannya di posisi tengah menyaksikan gandingan Natxo Insa dan Afiq Fazail kurang menyerlah sehingga memaksa Hector Bidoglio membuat perubahan pada separuh masa pertama.
Persembahan cemerlang ditampilkan tersebut menerima pujian ramai sehingga ada yang menyamakannya dengan bekas kapten Arsenal, Patrick Vieira disebabkan faktor fizikal dan keberanian dalam melakukan asakan.
Meskipun beraksi dengan konsisten sepanjang musim, perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) itu boleh dikatakan titik tertinggi buat Ibrahim dalam kariernya setakat ini.
Namun, dia yang baru berusia 23 tahun bukanlah yang pertama dijulang selepas pentas final kerana berdasarkan aksi terdahulu, terdapat tiga pemain berjaya menggunakan platform itu sebaik mungkin.
1. Paulo Josue (KL City FC)
Kemenangan mengejut dilakar KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 boleh dikatakan titik perubahan terhadap nasib kelab Lembah Klang itu yang satu ketika dilupakan peminat bola sepak tanah air.
Ini kerana pasukan tersebut berjaya menundukkan juara bertahan, JDT menerusi keputusan 2-0 dengan salah satu jaringan dalam perlawanan akhir dicatatkan kapten mereka, Paulo Josue.
Ledakan Paulo Josue mengukuhkan namanya sebagai legenda Warga Kota. — Facebook/Kuala Lumpur City
Jaringan tersebut boleh diangkat sebagai gol paling penting dalam karier pemain kelahiran Brazil itu kerana ia menghadiahkan kejuaraan pertama selepas lima musim di ibu kota.
Sumbangan berkenaan turut menyaksikan namanya meniti bibir penyokong yang mula menyedari akan kebolehannya sehingga mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi status kewarganegaraan kepadanya.
Gol di perlawanan akhir itu juga mengukuhkan statusnya sebagai legenda KL City FC, lebih-lebih lagi selepas dia muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab dengan 69 gol dicatatkan.
2. Firdaus Saiyadi (Perak FC)
Salah satu perlawanan akhir Piala Malaysia paling sukar dilupakan peminat bola sepak tempatan sehingga hari ini adalah apabila Perak menundukkan Terengganu di Stadium Shah Alam, Selangor lebih kurang tujuh tahun lalu.
Ini kerana pertembungan tersebut menyaksikan sebanyak enam gol terhasil sepanjang 120 minit permainan serta beberapa kontroversi dan momen menarik dapat disaksikan.
Namun, tumpuan daripada peminat skuad The Bos Gaurus (TBG) diberikan kepada pemain muda, Firdaus Saiyadi yang ketika itu berusia 22 tahun, namun berjaya menggegar gawang lawan.
Nama Firdaus dijulang selepas menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.
Jaringan dihasilkan pada minit ke-46 permainan daripada anak jati Batang Padang, Perak itu boleh dikatakan titik kebangkitan buat pasukannya yang sebelum itu ketinggalan dengan dua gol.
Statusnya sebagai pemain kelahiran negeri dan jasa dalam perlawanan akhir itu menyaksikan Firdaus dijulang peminat sendiri meskipun dia kini tidak lagi beraksi buat kelab terbabit.
Malah, kesanggupannya untuk kekal di Utara tanah air meskipun Perak dilanda masalah kewangan kira-kira tiga tahun lalu mengukuhkan lagi namanya dalam kalangan penyokong.
3. Fadzrul Danel (Kedah)
Umum mengetahui bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan antara kelab tempatan yang tidak pernah putus melahirkan bakat tempatan, termasuk pemain tengah, Fadzrul Danel.
Meskipun namanya tidaklah semegah Baddrol Bakhtiar atau Rizal Ghazali, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu pernah mencurahkan sumbangan besar dengan mencatatkan gol tunggal dalam perlawanan akhir Piala FA 2019.
Fazrul Danel mula dijulang selepas meledak dalam perlawanan akhir Piala FA 2019. — Goal
Dia yang berada dalam posisi tepat ketika masa tambahan berjaya menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim untuk menghadiahkan trofi kejuaraan buat skuad Sang Kenari.
Jaringan berkenaan memainkan peranan penting dalam karier pemain berkenaan kerana ia meletakkan namanya di bibir penyokong, lebih-lebih lagi kerana usianya ketika itu baru mencecah 21 tahun.
Bagaimanapun, jangkaan orang ramai yang diletakkan di bahu Fazrul Danel tidak terbalas kerana pada musim-musim berikutnya, dia kerap diletakkan di bangku simpanan disebabkan isu kecergasan dan prestasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram