Dari Korea Selatan, bekas bintang Penang, Pahang kini hanya beraksi di liga amatur Selangor


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Kogileswaran (kanan) beraksi buat NPNG FC yang bersaing dalam Liga Super FAS musim ini. — Instagram/FAS

KEPUTUSAN pemain lokal untuk mencuba nasib ke luar negara sememangnya disokong peminat bola sepak kerana ia mampu memberikan mereka pendedahan dengan gaya hidup dan budaya dalam persekitaran berbeza.

Namun, langkah tersebut jarang sekali membuahkan hasil kerana masing-masing berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri sehingga pada akhirnya memberi kesan terhadap karier sendiri.

Ini termasuk bekas pemain kebangsaan, Kogileswaran Raj yang pernah mengambil keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan dan menyertai Chungbuk Cheongju di divisyen keempat.

BACA LAGI: Kurang minit permainan di Korea, 4 destinasi domestik terbaik buat Kogileswaran kembali temui sentuhan sebenar

BACA LAGI: Arif Aiman antara pemain disebut bakal ikut jejak Kogileswaran ke Korea Selatan

Kogileswaran hanya mencatatkan satu penampilan sepanjang kira-kira setengah tahun di Korea Selatan. Instagram/Kogileswaran Raj

Dia yang melakukan perpindahan itu pada 2023 gagal menikmati sebarang hasil kerana hanya sempat beraksi sebanyak sekali dalam skuad utama tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan direkodkan.

Jadi, selepas kontraknya di negara Asia Barat itu berakhir, Kogileswaran memutuskan untuk kembali ke Liga Malaysia dan menyertai Penang FC pada jendela perpindahan kedua musim.

Bagaimanapun, dilema sekali lagi melanda kerana pemain tersebut gagal menyesuaikan diri dalam pasukan sehingga menyaksikannya hanya diturunkan tiga kali sepanjang separuh kempen di sana.

Pemain sayap itu kemudian sekali lagi berkelana pada penghujung musim, namun ketiadaan kelab berminat dengan khidmatnya mendesaknya menyertai kelab Liga A1 Semi Pro, Bunga Raya Damansara FC.

Nasib menimpa Kogileswaran menjadi buah mulut penyokong yang hairan akan masa depan penyerang tersebut selepas membuka lembaran buat bintang negara mencuba peluang di Korea Selatan.

Kogileswaran (kanan) menyertai skuad Harimau Kumbang selepas pulang dari Korea Selatan. Facebook/Penang FC

Malah, baru-baru ini, masa depan pemain berusia 26 tahun itu semakin menjunam selepas dia dikesan beraksi dalam Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersama NPNG FC.

Berdasarkan poster dikongsikan di laman Instagram liga, penyerang tersebut beraksi ketika pasukannya berdepan MPKj FC di Radia Arena, Shah Alam, Selangor dengan dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1.

Keputusannya beraksi dalam liga amatur itu wajar disokong kerana ia membuktikan kesungguhannya meneruskan karier meskipun terpaksa melupakan momen indah pernah dinikmati di divisyen teratas negara satu ketika dahulu.

Namun, orang ramai pasti akan tertanya-tanya mengenai masa depannya selepas pernah mengejutkan ramai dengan menyertai kelab kerdil Korea Selatan yang sepatutnya menghadiahkan pemain itu pengalaman berharga.

Selain pernah beraksi buat skuad Harimau Kumbang, Kogileswaran juga berpeluang menyarung jersi Pahang dan Petaling Jaya (PJ) City FC sebelum mencuba nasib di luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram