
BARU-BARU ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa rindu terhadap zaman kegemilangan The Red Warriors (TRW).
Suatu ketika dahulu, Kelantan merupakan antara pasukan paling digeruni dalam Liga Malaysia, terutamanya selepas mencatat sejarah meraih gelaran treble pada musim 2012.
Namun segalanya kini tinggal kenangan. Bola sepak Kelantan tidak lagi berada dalam mana-mana saingan rasmi liga bola sepak Malaysia.
BACA LAGI: Penang FC bercita-cita besar ke pentas Asia, siap ada 'bayangan' skuad utama musim depan
Kuasa bola sepak negara pula telah beralih kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), yang kini mendominasi kancah tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Annuar berpendapat sudah tiba masanya satu perubahan drastik dilakukan bagi mengangkat semula nama Kelantan dalam peta bola sepak Malaysia.
Beliau menyatakan hasrat untuk duduk semeja bersama KAFA, kerajaan negeri Kelantan dan KDN FC bagi membincangkan pelan menyusun semula struktur bola sepak negeri itu.
Hasrat yang dizahirkan Annuar itu memberi bayangan bahawa beliau mungkin bersedia kembali memainkan peranan penting dalam mengembalikan era kegemilangan TRW.
Namun menurut pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, usaha menyelamatkan bola sepak Kelantan hanya boleh dicapai jika langkah konkrit diambil, termasuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain yang berlarutan sejak sekian lama.
"Langkah konkrit pertama yang perlu diambil adalah membayar gaji tertunggak dan menyelesaikan hutang lapuk bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan," katanya kepada Majoriti.
Kelantan FC disingkirkan daripada saingan Liga Super kerana gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan isu tunggakan gaji. — Facebook/Sabahfc
Jelas beliau, tidak menjadi masalah sekiranya Annuar mahu kembali memimpin KAFA, namun ia perlu disokong oleh kewangan yang kukuh serta keupayaan menarik sokongan dana yang stabil, termasuk melalui pengaruh politik.
“Keputusan untuk kembali memimpin KAFA wajar jika terdapat sumber kewangan yang kukuh atau sokongan politik yang boleh membantu menjana dana diperlukan,” ujarnya.
Tambah Zulakbal lagi, perancangan yang teratur dan progresif juga amat penting bagi memastikan kebangkitan bola sepak Kelantan tidak bersifat sementara.
“Perlu ada perancangan yang tersusun dan berperingkat untuk memastikan kemajuan yang berterusan dan konsisten, dengan matlamat mengembalikan Kelantan ke persada liga utama,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram