Terkenang era kegemilangan TRW lepas tengok kejayaan JDT-Liverpool, Annuar Musa mahu julang semula bola sepak Kelantan


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Kelantan meraih gelaran treble pada 2012. — Agensi

SATU masa dahulu, Kelantan FC pernah mencapai puncak apabila berjaya meraih gelaran treble pada musim 2012.

Ketika itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merupakan figura penting kepada kejayaan skuad The Red Warriors itu.

Namun begitu, semuanya tinggal kenangan dengan Kelantan kini tidak beraksi dalam mana-mana saingan dalam piramid bola sepak Malaysia.

BACA LAGI: Penang FC terpaksa 'lawan' kelab Lembah Klang rebut sentuhan bakat muda Kelantan

BACA LAGI: Dua kali kecewa di negeri sendiri, bakat muda Kelantan disebut sertai Penang

Kini, semuanya sudah berubah. Bola sepak Malaysia tidak lagi dikuasai oleh Kelantan sebaliknya Johor Darul Ta'zim (JDT) pula menjadi kelab dominan.

Ia membuatkan Annuar terkenangkan kepada hari-hari indah bola sepak Kelantan yang melihatkan pemain seperti Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha menguasai skuad TRW.

Melihat kepada kejayaan JDT meraih satu lagi gelaran treble ditambah kemenangan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) membuatkan Annuar berharap dapat membantu Kelantan bangkit semula.

Namun begitu, Annuar cuma boleh melakukan kebangkitan itu bersama-sama Kelantan Darul Naim (KDN) FC kerana Kelantan yang pernah dibangunaknnya satu masa dulu kini dimiliki usahawan, Norizam Tukiman.

"Tengok Liverpool, tengok JDT sehari dua ini, teringat saya pada era The Red Warriors (TRW) Kelantan.

"Saya berpandangan sampai masanya sesuatu perlu dilakukan untuk melakar semula nama Kelantan dalam peta dan carta bola sepak Malaysia.

"Saya harap berpeluang duduk bersama KAFA, kerajaan negeri Kelantan dan KDN FC untuk berbincang sesuatu, merekayasa semula bola sepak Kelantan," jelas Annuar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram