Kurang minit permainan di Korea, 4 destinasi domestik terbaik buat Kogileswaran kembali temui sentuhan sebenar


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Kogileswaran musim ini mewakili Chunbuk Cheongju FC. — Agensi

PEMBUBARAN Petaling Jaya (PJ) City FC pada penghujung musim lalu menyebabkan ramai pemain terpaksa mencari pasukan lain demi masa depan masing-masing.

Antara yang meneruskan karier di tempat baharu ialah penyerang sayap, Kogileswaran Raj yang berkelana ke Korea Selatan untuk menyertai Chunbuk Cheongju FC.

Perpindahan tersebut pada awalnya menimbulkan pelbagai pendapat orang ramai dengan ada yang berpendapat pemain berkenaan sepatutnya memilih untuk kekal dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, penerimaan yang cukup baik daripada penyokong Korea Selatan sejak kehadiran Kogi mula mengubah persepsi peminat terhadap keputusannya itu.

Tambahan pula, pemain kebangsaan itu juga tidak perlu menunggu terlalu lama untuk diturunkan apabila diberikan debut ketika aksi Piala FA Korea pada Mac lalu.

Namun, sejak itu, kelibat dan nama penyerang berusia 24 tahun itu terus tenggelam apabila dia sudah tidak lagi terlibat dalam hari perlawanan.

Selain tidak pernah berada di bangku simpanan, perkembangan karier Kogi seakan-akan tidak lagi diberi perhatian, termasuk daripada penyokong bola sepak tanah air.

Demi menyelamatkan karier Kogi, Majoriti senaraikan empat pasukan yang sesuai untuk pemain sayap ini kembali perbaiki prestasinya semula di Liga M:

Perak FC

Kesebelasan utama Perak FC ketika menentang Kedah baru-baru ini. — Facebook/Perak

1. Perak FC

Sembilan kekalahan dialami skuad Perak FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini menunjukkan betapa skuad itu kini berada di bawah tekanan untuk kembali ke prestasi sebenar.

Walaupun kemasukan Yusri Che Lah sebagai jurulatih sementara yang menggantikan Datuk Lim Teong Kim dilakukan namun perubahan itu mengundang keresahan dalam kalangan penyokong yang semakin meragui kredibiliti pengendali tersebut.

Oleh itu, penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) berharap agar pihak pengurusan pula melalukan rombakan pemain dan salah satunya ialah membawa masuk Kogi ke dalam pasukan Perak.

Kogi dilihat mampu membantu mempertajamkan serangan pasukan Perak yang dilihat sukar untuk menjaringkan gol.

2. Terengganu FC

Jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner yang kini menjadi pengendali Terengganu FC (TFC) merupakan salah seorang guru Safawi Rasid ketika dia menyarung jersi T-Team pada 2016.

Dengan potensi tinggi yang dimiliki Kogi, Tomislav dilihat boleh mengasah bakat yang ada pada bekas pemain sayap kebangsaan itu.

Dengan pengalaman yang dimiliki Kogi, dia merupakan pilihan tepat untuk mengisi slot tonggak sayap berikutan buat masa ini skuad Sang Penyu masih tidak menjumpai pemain sesuai.

Sri Pahang FC

Sri Pahang FC. — Facebook/Sri Pahang

3. Sri Pahang FC

Pasukan Pahang menunjukkan peningkatan pada musim ini setelah pengendalinya berubah tangan kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad.

Kehadiran Fandi yang menyertai skuad Sri Pahang memberikan harapan kepada penyokong pasukan tersebut untuk muncul sebagai gergasi Pantai Timur pada masa depan.

Selain itu, sentuhan pemain kelahiran Liberia, Kpah Sherman di posisi searangan kelihatan terhad berikutan kekurangan hantaran berkualiti daripada rakan sepasukan.

Oleh itu, peluang ketika berada dalam jendela perpindahan pasti akan menyaksikan pengambilan pemain baharu dalam menambah baik kemampuan serangan skuad Tok Gajah.

Namun, jika ditambah dengan kehadiran Kogi, pasti gandingan mereka mampu membantu skuad Sri Pahang untuk pergi lebih jauh kerana Fandi akan memiliki lebih pilihan pemain yang kuat di jentera serangan.

Hantaran cantik yang mampu dihasilkan Kogi dilihat sebagai kunci dalam memperkuatkan lagi kebolehan jentera serangan apabila pemain itu juga mampu diturunkan sebagai pemain tengah menyerang.

4. Penang FC

Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Harimau Kumbang memberi kepercayaan penuh terhadap import yang dimiliki musim ini, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Antara pemain yang sering mencuri nama buat pasukan setakat 14 perlawanan Liga Super ini pastinya adalah tiga penyerang mereka iaitu Soony Saad, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo.

Kebolehan serta gaya permainan yang berbeza antara satu sama lain memberi Manzoor ruang untuk bereksperimen dengan pendekatan berlainan boleh diambil untuk setiap hari perlawanan.

Namun, kehadiran mereka itu masih belum dapat memacu Penang FC ke tahap lebih baik apabila isu konsistensi terus menghantui pasukan itu.

Kesukaran tersebut boleh dikaitkan dengan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menetapkan kuota import untuk setiap aksi liga.

Jadi, sekiranya Manzoor mahu membawa dimensi baharu buat jentera serangan, dia pastinya perlu mendapatkan seorang penyudah prolifik tempatan.

Tugas itu dilihat cukup sesuai buat Kogi memandangkan kebolehannya di hadapan pintu gol masih belum pudar walaupun lebih kerap 'diperam' di bangku simpanan Chunbuk Cheongju FC.

Persoalannya, dengan kelab itu sudah memiliki saiz skuad yang cukup besar ketika ini, adakah kehadiran penyerang itu akan dialu-alukan pihak pengurusan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram