Arif Aiman antara pemain disebut bakal ikut jejak Kogileswaran ke Korea Selatan


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Pro Global Management memberi bayangan di Instagram bahawa terdapat seorang lagi pemain Malaysia akan terbang ke Korea Selatan.

KETIKA kempen Liga Super 2023 berehat seketika, timbul desas-desus mengaitkan seorang pemain yang dikhabarkan bakal mengikut jejak langkah Kogileswaran Raj untuk beraksi di Korea Selatan.

Sebelum ini, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu sah diikat kelab daripada Liga Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC.

Kini, seorang lagi pemain dikatakan akan berkelana ke negara K-pop itu.

Perkhabaran itu dimaklumkan oleh Pro Global Management menerusi satu hantaran di laman Instagram @proglobalsport.

Menerusi entri itu, mereka memberi bayangan terdapat seorang lagi pemain akan terbang ke sana dalam masa terdekat namun tidak memberi bayangan mengenai individu yang dimaksudkan.

Terdapat beberapa nama yang boleh dikaitkan dengan perpindahan tersebut antaranya bintang sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang menjadi buah mulut selepas kelibatnya tidak kelihatan di sesi latihan Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Hong Kong pada 28 Mac ini.

Malah sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif, JMH Sports Agency, Leo Jeong dilaporkan berhasrat untuk membawa pasukan daripada K League untuk melakukan latihan di stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Jeong merupakan ejen yang membawa sembilan pemain serta jurulatih daripada Korea Selatan bermain dengan tiga kelab Liga Malaysia pada musim ini iaitu Kelantan FC, Sri Pahang FC dan Perak FC.

Persembahan Arif Aiman menarik minat kelab divisyen satu Liga Jepun, Kashiwa Reysol dan juga beberapa buah kelab Korea yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram