Alex tak dapat bayangkan apa dirasai fans Tok Gajah, ruginya jika masih tiada sinar musim depan


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Azamuddin (kiri) menikmati tempoh cemerlang sepanjang lima tahun beraksi di negeri kelahirannya itu.

BEKAS pemain Pahang, Azamuddin Akil tidak dapat membayangkan rasa kehilangan yang bakal dirasai oleh semua penyokong Tok Gajah sekiranya pasukan itu tidak lagi beraksi di pentas Liga Super musim depan.

Selepas dia menyaksikan sendiri kemeriahan yang ditunjukkan oleh penyokong ketika final Piala Malaysia pada Sabti lalu, Azamuddin menyifatkan kelab itu seharusnya tetap komited untuk bertanding di Liga Malaysia.

Malah, dengan persembahan ditampilkan seluruh pasukan pada perlawanan itu membuktikan semangat juang barisan pemain yang ingin memberikan sesuatu kepada penyokong kesayangan mereka selepas 11 tahun menamatkan penantian untuk melangkah ke pentas akhir.

BACA LAGI: Keadaan Faisal belum sesuai ke Indonesia, Alex nasihat kekal dulu di Selangor

BACA LAGI: Azamuddin berkelana hingga ke Jerman tuntut ilmu panjat pokok, bangga dapat tunjuk kemahiran depan TMJ

Penyokong Tok Gajah tidak putus mengharapkan sinar buat pasukan berkenaan. Facebook/Sri Pahang FC

“Saya sebenarnya agak terkejut juga apabila melihat pemain-pemain beraksi dengan cukup cemerlang pada malam final itu, sangat baik dan berkualiti. Termasuklah juga dari segi semangat yang ditampilkan penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada mereka," katanya kepada MFL.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, skuad Tok Gajah dikecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 1-2 yang menyajikan pelbagai momen mendebarkan.

Ini termasuk dua layangan kad merah diberikan kepada Sergio Aguero dan Park Jun-heong serta kejayaan Sri Pahang FC mencipta kejutan dengan meraih gol pendahuluan pada minit ke-14 menerusi T Saravanan.

Kehangatan diserlahkan itu membuatkan penyokong serta Azamuddin sendiri untuk melihat sinar bagi kelab Pantai Timur berkenaan untuk meneruskan langkah mereka di Liga Malaysia musim depan.

“Justeru, saya rasa tidak wajar untuk kita lihat Sri Pahang ini menarik diri dalam kancah Liga Malaysia sebab saya percaya mesti ramai peminat bola sepak akan rasa sedih dan kecewa.

Azamuddin berada dalam skuad Tok Gajah yang menjuarai Piala Malaysia 2014.

“Semua orang tahu Pahang adalah pasukan yang banyak mencipta sejarah tersendiri dan amat rugi jika kita kehilangan pasukan ini dalam liga sebab Pahang juga banyak melahirkan pemain berbakat besar terutamanya untuk mewakili Malaysia.

“Jadi saya harap akan ada sinar untuk pasukan ini terus kekal dalam Liga Malaysia dan pihak pengurusan juga dapat mempertimbangkan kembali apa jua keputusan untuk menarik diri," jelasnya.

Azamuddin yang juga dikenali sebagai Alex sebelum ini beraksi buat skuad Tok Gajah selama lima tahun bermula 2010 dengan dia turut menikmati tempoh kegemilangan pasukan itu.

Ini termasuk kejayaan membuat pasukan berkenaan menjulang Piala Malaysia 2013 dan pada tahun berikutnya yang sudah tentu kenangan indah sepanjang beraksi buat pasukan di negeri kelahirannya itu.

Selain bermain buat Pahang, Azamuddin juga pernah menyertai beberapa pasukan lain, termasuk JDT dan Selangor yang menaikkan lagi reputasinya sebagai salah seorang pemain sayap terbaik negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram