Azamuddin berkelana hingga ke Jerman tuntut ilmu panjat pokok, bangga dapat tunjuk kemahiran depan TMJ


Azamuddin menunjukkan anak benih pokok kelat yang dipetik ketika program KMJ, di Taman Eko Rimba Sungai Bantang pada Ahad. — Bernama

SEORANG pengutip benih pokok hutan yang kini bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Johor, pernah menimba ilmu memanjat pokok hingga ke Jerman semata-mata untuk memantapkan kemahirannya.

Azamuddin Kassan, 54, yang kini menjadi jurulatih bagi pemanjat baharu di jabatan itu berkata, beliau pernah merantau ke negara Eropah berkenaan selama setahun di Deutsche Geseffschft for Technische Zusammenarbeit (GTZ) pada 1995 bagi menghadiri kursus memanjat dan perolehan biji benih.

Terdahulu, beliau sempat menunjukkan kemahirannya memanjat serta mengutip benih pokok hutan di hadapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Bekok, dekat Segamat, Johor.

Beliau yang berkhidmat di jabatan itu selama 28 tahun dan bertugas mengutip benih pokok cengal, keruing, kelat dan meranti, turut menyimpan hasrat menunjukkan kepakarannya itu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, satu hari nanti.

"Pada hari ini, ia merupakan kali pertama saya memanjat (pokok) di hadapan kerabat diraja, dengan mengutip benih pokok kelat di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Bekok. Rasa berdebar pun ada apabila semua mata yang hadir di KMJ tertumpu ke arah saya.

"Walaupun berpengalaman lebih 20 tahun memanjat pokok hutan serta menimba ilmu berkenaan di negara Jerman, tetapi saya tetap melakukan persiapan untuk program hari ini, dengan berlatih hampir setiap hari selama seminggu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

SEGAMAT, 6 Ogos -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (dua, kanan) berkenan melihat barang keselamatan yang digunakan untuk memanjat pokok bagi mengambil benih anak pokok kelat, pada Kembara Mahkota Johor (KMJ), di Taman Eko Rimba Sungai Bantang hari ini.KMJ program ‘turun padang’ yang dianjurkan bertujuan merapatkan hubungan institusi Diraja Johor, pemimpin negeri dengan rakyat, yang memasuki edisi ke-23, bermula semalam.KMJ tahun ini berkonsepkan pengembaraan pacuan empat roda diketuai sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan menjelajah ke laluan Kampung, Mukim dan Daerah, bermula 5 Ogos hingga 8 Ogos ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tunku Ismail (dua, kanan) berkenan melihat barang keselamatan digunakan untuk memanjat pokok bagi mengambil benih anak pokok kelat, pada program KMJ, di Taman Eko Rimba Sungai Bantang pada Ahad. — Bernama

Azamuddin berkata, pengalaman beraksi di hadapan kerabat diraja Johor dan tetamu kehormat termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai sesuatu berharga serta tidak akan dilupakan seumur hidupnya.

"Untuk pengetahuan umum, benih-benih pokok hutan yang saya kutip daripada atas pokok berkenaan akan disemai di tapak semaian sebelum ditanam semula di dalam hutan untuk menggantikan atau menambah bilangan pokok di sesebuah taman eko rimba di negeri ini,” katanya.

Tunku Ismail turut menyaksikan pertunjukan silat oleh Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Kebangsaan Daerah Segamat serta mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf di kawasan itu.

Sementara itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, Datuk Dennis Muhammad Abdullah menyaksikan demonstrasi memasak menggunakan buluh dan pembuatan khemah oleh Jabatan Perhutanan.

SEGAMAT, 6 Ogos -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan melihat keindahan anak sungai Taman Eko Rimba Sungai Bantang, pada Kembara Mahkota Johor (KMJ), di Taman Eko Rimba Sungai Bantang hari ini. Turut hadir,  Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri). KMJ program ‘turun padang’ yang dianjurkan bertujuan merapatkan hubungan institusi Diraja Johor, pemimpin negeri dengan rakyat, yang memasuki edisi ke-23, bermula semalam.KMJ tahun ini berkonsepkan pengembaraan pacuan empat roda diketuai sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan menjelajah ke laluan Kampung, Mukim dan Daerah, bermula 5 Ogos hingga 8 Ogos ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tunku Ismail (tengah) berkenan melihat keindahan anak sungai Taman Eko Rimba Sungai Bantang, ketika KMJ di Taman Eko Rimba Sungai Bantang pada Ahad.

Konvoi Diraja Johor itu menjelajah menggunakan pacuan empat roda untuk bertemu rakyat jelata di daerah Kluang, Segamat, Tangkak dan Muar pada hari kedua kembara tersebut.

Pada KMJ kali ini, Tunku Ismail buat julung kalinya memimpin jelajah merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer yang bermula Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram