Lepas hilang Feroz, JDT kempunan khidmat Jun-heong baki 2 aksi ACLE


  • Podium
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Jun-heong akan direhatkan untuk dua aksi terakhir dalam kempen ACL Elite 2024/25. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KECEDERAAN ligamen krusiat anterior (ACL) dialami Feroz Baharudin menyaksikan bek tengah itu terpaksa melupakan baki musim 2024/25 bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain yang merekodkan 23 penampilan dalam semua pertandingan buat skuad Harimau Selatan itu sememangnya antara tonggak utama pasukan meskipun mereka memiliki beberapa import dalam barisan pertahanan.

Jadi, kehilangan Feroz sudah pasti dirasai pasukan bimbingan Hector Bidoglio, lebih-lebih lagi dalam pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dengan dua aksi berbaki.

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden 'cabul' Arif Aiman, Theerathon Bunmathan digantung 3 perlawanan

BACA LAGI: 'K-pop in the house', bintang baru JDT boleh bantu cipta rekod untuk Syihan

Nasib malang terus menimpa kelab Selatan tanah air berkenaan apabila pada Jumaat, media melaporkan JDT kehilangan seorang lagi pemain dalam benteng pertahanan, iaitu Park Jun-heong.

Bek tengah dari Korea Selatan tersebut terpaksa melupakan baki perlawanan dalam peringkat kumpulan disebabkan kad merah dikenakan ketika berdepan pasukan Thailand, Buriram United, menurut pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam.

"Pertahanan JDT, Jun-heong terlepas aksi menentang Central Coast Mariners dan Pohang Steelers akibat penggantungan dua perlawanan yang dikenakan AFC susulan kesalahan ketika aksi bertemu Buriram United pada 3 Disember lalu," katanya menerusi aplikasi X.

Dalam aksi tersebut, pemain Korea Selatan itu melakukan bentesan berbahaya terhadap pihak lawan sehingga pengadil beranggapan kekasaran dilakukan boleh mengundang kecederaan serius.

WhatsApp Image 2025-01-17 at 3.58.40 PM

Feroz akan berehat lama akibat kecederaan ACL yang dialaminya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perlawanan terbabit turut menyaksikan bek sayap Harimau Selatan, Murilo Henrique dibuang padang selepas menggagalkan peluang pihak lawan ketika situasi satu lawan satu.

Malah, pemain pertahanan kiri Buriram United, Theerathon Bunmathan turut berdepan nasib sama berikutan tindakan melakukan serangan fizikal terhadap bintang JDT, Arif Aiman Hanapi.

Kehilangan Jun-heong dan Feroz seperti tidak akan memberi impak besar terhadap barisan pertahanan juara bertahan Liga Super itu kerana mereka memiliki beberapa pilihan lain yang boleh diturunkan.

Ini termasuk pemain kebangsaan, Shahrul Saad serta import kelahiran Australia, Shane Lowry yang masing-masing baru sahaja kembali dari kecederaan dan sudah berada di tahap kecergasan terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram