
LEGENDA Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun mencipta sejarah apabila berjaya menjadi naib presiden bagi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk penggal 2025/2029.
Dalam sebuah mesyuarat agung tergempar dilakukan pada Isnin, Hariss yang juga ketua pasukan skuad kebangsaan Singapura diangkat menjadi naib presiden dalam barisan pucuk pimpinan diketuai Forrest Li.
Ia menjadikan Hariss berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Datuk Dollah Salleh yang menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
BACA LAGI: Bagaikan ikut jejak Dollah Salleh, legenda JDT bertanding jawatan Naib Presiden FAS
BACA LAGI: Hariss Harun kembali ke SSI, kali ini pegang watak 'antagonis'
Hariss (kanan) dijangka bersara selepas sah dilantik menjadi Naib Presiden FAS.
Walaupun sudah dilantik sebagai naib presiden, status Hariss bersama skuad Singapura masih menjadi tanda tanya kerana dia masih merupakan pemain aktif.
Malah, dia masih mempunyai peranan penting bersama Lion City Sailors (LCS) yang sedang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Berkemungkinan, untuk memenuhi tanggungjawab baharunya, Hariss perlu menggantung but terlebih dahulu.
Dalam pada itu, satu lagi nama yang tidak dalam asing dalam kalangan penyokong bola sepak Singapura dan Malaysia turut berjaya menyertai pucuk pimpinan FAS.
Penyerang naturalisasi igauan penyokong Harimau Malaya, Aleksandar Duric turut tersenarai dalam pucuk pimpinan baharu FAS sebagai ahli majlis.
Selain Duric, bekas ketua pasukan Singapura, Aide Iskandar yang merupakan abang kepada pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin turut terpilih sebagai ahli majlis.
Kedudukan Duric dan Aide adalah setara dengan jawatan disandang oleh Datuk Zainal Abidin Hassan bersama FAM sebagai exco.
Barisan kepimpinan baharu FAS diketuai oleh Forrest yang merupakan Pengerusi LCS sambil dibantu oleh Pengerusi BG Tampines Rovers, Desmond Ong sebagai timbalan presiden.
Selain Hariss, Bill Ng, Tan Li Yiu dan Sean Bai mengisi posisi jawatan naib presiden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram