Kedah tawar bekas bintang Portugal jawatan TD, petanda sedia kembali menjadi pencabar Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Tomas merupakan bekas pemain Benfica dan Portugal.

KEDAH Darul Aman FC memberikan isyarat mereka mahu terus bergerak ke hadapan apabila kelab itu menawarkan jawatan pengarah teknikal kepada bekas pemain Portugal, Joao Tomas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Kedah menawarkan jawatan tersebut kepada Tomas untuk membantu Sang Kenari selama semusim pada 2025/2026. Dalam masa yang sama, Kedah turut memberi isyarat mereka mempunyai tajaan dari Portugal.

Bagi Kedah, usaha yang dilakukan oleh antara mereka denga Tomas dianggap sebagai unik dan memberikan petanda situasi kewangan kelab mula menuju pemulihan.

BACA LAGI: Sempat beri penghormatan buat Milos, bek Kedah hampir jadi milik Penang

BACA LAGI: 'Kedah pantang kalah', bekas jurulatih juga 'terasa', harap Sang Kenari kembali bangkit

"Pihak KDA FC sudah memaklumkan tawaran awal kepada Joao Tomas untuk berkhidmat selaku Pengarah Teknikal KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat segala perbelanjaan beliau sebagai Pengarah Teknikal ditaja oleh pihak penaja tertentu.

"Pihak KDA FC sudah mendapat maklum balas yang baik dari sebuah pihak penaja di Portugal untuk tujuan ini dan dalam proses untuk memuktamadkan semua perbincangan berhubung tawaran bekerja sebagai Pengarah Teknikal dan juga penajaan kepada kos gaji dan perbelanjaan Joao Tomas sebagai Pengarah Teknikal," kata Kedah. 

Dalam pada itu, Kedah mengatakan Tomas akan tiba di Stadium Darul Aman bersama-sama legenda Portugal, Ricardo Quaresma dalam aksi persahabatan antara Kedah All Stars menentang Malaysia All Stars pada 3 Mei.

"Usaha yang unik ini, sekiranya berjaya, akan memberi impak yang berkesan kepada persembahan dan pencapaian KDA FC di masa hadapan dan lebih-lebih lagi kepada semua bakal pihak penaja kepada KDA FC khususnya dari luar negara.

"Keberadaan nama-nama besar dari peringkat antarabangsa dalam KDA FC sudah pasti akan menjadi tarikan media dan lebih penting lagi, memberi keyakinan kepada banyak pihak tentang semangat dan komitmen KDA FC dalam mengharungi musim baru ini," tulis Kedah lagi.

Tomas sebelum ini pernah beraksi untuk Portugal sebanyak empat kali pernah bermain untuk beberapa kelab seperti Benfica, Rio Ave dan Boavista. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram