Makin banyak kelab Liga Super gulung tikar, tak mustahil fans tukar angin sokong Manjung City, Kerteh FC


  • Podium
  • Isnin, 28 Apr 2025

Sri Pahang dan Perak antara kelab bakal tinggalkan Liga Super.

MASALAH kewangan yang semakin teruk dalam kalangan kelab bola sepak tempatan menyaksikan terdapat potensi beberapa kelab akan menarik diri.

Kelab-kelab seperti Perak FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC kelihatan dalam ancaman akan meninggalkan Liga Super dan itu nyata meresahkan penyokong.

Hal ini kerana, ketiga-tiga kelab itu mempunyai pengikut yang besar dan pernah meninggalkan legasi dalam sejarah bola sepak negara.

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan TBG, Luciano tuntut hak dengan pengurusan Perak

BACA LAGI: 'Bola sepak Malaysia terlalu mahal,' kerajaan Perak tak mampu selamatkan TBG

Datuk Dr Pekan Ramli.

Persoalannya, seandainya kelab-kelab itu benar 'terkubur', adakah ia akan membuka ruang untuk penyokong mula beralih arah mengikut kelab berasaskan daerah walaupun secara paksaan?

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tidak mustahil jika trend penyokong berubah dengan mereka mula mengikuti kelab-kelab berasaskan komuniti seperti Manjung City FC di Perak serta Kerteh FC (Terengganu).

"Saya yakin akan berlaku perubahan trend sokongan peminat kepada liga bawahan seperti Liga A1 Semi Pro dengan beralih sokongan kepada pasukan kelab atau daerah yang berasaskan community base seperti Gombak FC, Manjung City, Kuala Lumpur Rovers, Malaysian University dan lain-lain.

"J.League di Jepun dulu gagal di tiga tahun pertamanya. Namun selepas itu mereka memperkukuhkan community base bagi setiap kelab menerusi penyatuan kelab-kelab dengan sokongan-sokongan syarikat gergasi berasaskan lokaliti," kata Pekan kepada Majoriti.

Melihat kepada masa depan Liga Super, Pekan menganggap nilai komersial pastinya akan menurun apabila berlakunya kekurangan kelab bertanding.

Sudah pasti, saingan akan semakin malap kemeriahannya. Tetapi, salah satu cara untuk memastikan saingan tempatan terus teguh adalah kesemua kelab bekerja bersama-sama menguatkan community base.

"Jika pasukan seperti Perak, Kedah, dan Sri Pahang tidak beraksi lagi pada musim 2025/2026. Mungkin tinggal sepuluh pasukan sahaja.

"Memang Liga Super akan terjejas dari aspek komersialnya, tahap kemeriahan dan keghairahannya makin lesu, tahap kompetitifnya dan jumlah penyokong ke stadium akan merosot begitu teruk sekali. Minat terhadap bola sepak semakin merudum di seluruh negara.

"Harapan masih ada untuk menyelamatkan Liga Super jika kita turut mengambil pendekatan yang sama. Tidak salah liga kita adalah liga profesional tetapi pengukuhan kepada aspek community base itu sangat berkesan berbanding penyertaan dua pasukan atau kelab bertanding dalam liga yang sama," jelas Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram