Dicemuh Ultrasel, jodoh kembali bertaut bersama Gergasi Merah antara 3 momen Safuwan Baharudin dalam ingatan


  • Podium
  • Rabu, 23 Apr 2025

Safuwan dikhabarkan akan kembali ke negaranya iaitu Singapura dengan dia dikaitkan akan menjadi pemain terbaharu LCS. — Facebook/SelangorFC

KEMENANGAN 2-0 ke atas PDRM FC pada aksi terakhir Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu lepas kemungkinan kali terakhir menyaksikan Safuwan Baharudin menyarung jersi Gergasi Merah.

Hal ini kerana, timbul desas-desus mendakwa ketua pasukan Selangor berkenaan akan meninggalkan Gergasi Merah selepas Safuwan sendiri sudah memberi klu pada Instagram miliknya baru-baru ini.

Sebelum ini, Safuwan memberikan petanda akan meninggalkan Selangor selepas memuat naik Instagram Story bergambarkan logo Gergasi Merah sambil meletakkan lagu See You Again nyanyian Charlie Puth dan Wiz Khalifa.

BACA LAGI:Penyokong usah khuatir, tiada kesan bahaya Faisal beraksi di atas padang — Selangor FC

BACA LAGI:Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani

Bukan itu sahaja, bek berusia 33 tahun tersebut juga sudah dikhabarkan akan kembali ke negaranya iaitu Singapura dengan dia dikaitkan akan menjadi pemain terbaharu Lion City Sailors (LCS).

Dengan kepulangan ke skuad gergasi Singapura itu, ia akan menjadi kelab pertama pertahanan tengah berkenaan di Singapura dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir bersama Lions XII pada 2015.

Kehilangan Safuwan dalam skuad Gergasi Merah akan meninggalkan impak besar berikutan bek itu sudah bersama Selangor ketika zaman kemerosotan sehingga kini sudah berhasil layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Selama hampir enam tahun bersama kelab Lembah Klang berkenaan, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga momen Safuwan yang pasti sukar dilupakan penyokong Gergasi Merah;

1) Hatrik vs Terengganu FC (TFC)

Safuwan menjadi wira Gergasi Merah apabila meledak hatrik dalam perlawanan dramatik menentang Terengganu FC, sekaligus memastikan pasukannya mara ke pentas akhir Piala FA 2024/2025.

Gol pertama Safuwan hadir menerusi tandukan padu hasil sepakan penjuru pada minit ke-28, menyamakan kedudukan selepas Terengganu terlebih dahulu berada di depan. Dia kemudiannya menggandakan jaringan pada minit ke-57 melalui satu rembatan deras dari luar kotak penalti.

Detik paling mencuri tumpuan adalah apabila Safuwan melengkapkan hatriknya pada minit ke-83 permainan hasil satu situasi kelam kabut di dalam kotak penalti yang dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Sorakan gemuruh penyokong menggamatkan stadium, meraikan detik bersejarah buat pemain yang biasanya beraksi di bahagian bawah. Hatrik tersebut bukan sahaja melonjakkan moral pasukannya tetapi turut menjadi momen yang akan dikenang buatnya.

Hatrik dalam pusingan kedua separuh akhir Piala FA itu menjadikan jumlah golnya sebanyak empat jaringan dan merekodkan empat bantuan jaringan dalam 30 aksi Safuwan diturunkan pada musim ini.

2) Terima cemuhan penyokong sendiri

Safuwan (tengah) ketika berdepan dengan penyokong yang marah susulan bolos di tangan Kedah akibat kesilapan mudah. 

Pada musim 2022, Safuwan melalui fasa sukar dalam karier bola sepaknya apabila menerima cemuhan daripada penyokong sendiri akibat prestasi Gergasi Merah yang dikatakan tidak menepati jangkaan.

Menerusi video yang tular di media sosial, seorang individu yang dipercayai daripada kumpulan penyokong Selangor, UltraSel Curva dilihat melontarkan cemuhan dan bidasan prestasi pasukan ke atas Safuwan.

Malah, individu berkenaan juga mengeluarkan kata-kata kesat ketika Safuwan menghampiri kumpulan penyokong yang berada di tempat duduk penonton. Kemarahan itu dikatakan berpunca daripada satu gol yang dibolosi Selangor pada waktu tambahan meskipun Selangor menang 4-1 pada musim 2022.

Insiden itu bagaimanapun dapat dileraikan dengan pemain lain Selangor termasuk penjaga gol, Khairulazhan Khalid, cuba menenangkan penyokong, sementara pegawai pasukan Selangor dilihat meminta Safuwan beredar dari tempat itu.

Selepas kejadian berkenaan, menerusi laman Instagram Story miliknya, Safuwan menegaskan selagi Brendan Gan yang ketika itu kapten Selangor masih belum pulih dan dia dilantik sebagai ketua pasukan, menjadi tugasnya untuk sentiasa melindungi rakan sepasukan.

3) Kembali semula ke Selangor selepas berpisah

Safuwan secara persetujuan berpisah bersama Negeri Sembilan pada musim 2022. — Facebook/NSFC

Bagai sirih pulang gagang. Safuwan 'rujuk' kembali dengan Selangor FC setelah enam bulan meninggalkan skuad Gergasi Merah kerana berubah angin beraksi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada awal musim 2023.

Keputusan berkenaan turut didorong oleh saranan ibu bapanya untuk kekal beraksi dalam kancah Liga Malaysia, meskipun ketika itu Safuwan mendapat beberapa tawaran daripada kelab Liga Thailand.

Penyertaan Safuwan ketika itu turut dipengaruhi oleh aura bekas pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe yang sukses mengemudi Selangor FC sehingga menghuni tangga kedua Liga Super selepas 16 perlawanan.

Difahamkan, kecederaan yang membelenggu diri Safuwan dalam tempoh enam bulan terakhir pada musim 2022 memaksanya untuk keluar dari Gergasi Merah demi kebaikan diri dan kelab berkenaan.

Untuk rekod, Safuwan tampil dalam 12 perlawanan domestik bersama Negeri Sembilan dengan dia juga merekodkan dua jaringan gol untuk skuad Jang Hobin Jang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram