'Setia hujung nyawa', JDT-Selangor-Sabah catat purata kehadiran penyokong tertinggi dalam Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Penyokong JDT antara yang kerap ke stadium menyokong pasukan.

SAINGAN Liga Super 2024/2025 sudah berakhir dengan ia menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi juara dalam pertandingan 13 kelab.

Walaupun melalui pelbagai onak duri dilalui oleh kelab-kelab bertanding, namun sokongan penyokong tidak pudar dari awal hingga tamat musim.

Sekurang-kurangnya, terdapat tiga kelab yang masih mempunyai sokongan padu penyokong pada musim ini.

BACA LAGI: 'Satu kehilangan besar', V Saravanan 'patah hati' lihat Perak tarik diri Liga Super

BACA LAGI: Bintang warisan Indonesia hanya mampu ketawa, dengar khabar angin dikaitkan ke kelab elit Liga Super

Sabah FC

Salah satu kelab yang mempunyai sokongan padu sejak awal musim adalah wakil Borneo iaitu Sabah FC.

Walaupun berdepan pelbagai situasi sukar terutamanya pemergian pengendali popular, Datuk Ong Kim Swee ke kelab Indonesia, Persis Solo, penyokong Sabah tetap teguh menyokong.

Penyokong Sabah terus sedia memenuhi Stadium Likas. — Facebook/Sabah FC

Musim ini, Sabah mencatatkan purata sebanyak 4,404 orang dalam kehadiran ke Stadium Likas, Kota Kinabalu. Ia menjadikan mereka adalah kelab ketiga tertinggi dari segi purata sepanjang musim.

Penyokong Sabah terkenal dengan sifat fanatik terhadap skuad Badak, dan ganjaran mendapat tempat ketiga Liga Super mungkin amat bersesuaian untuk mereka.

Selangor FC

Satu lagi kelab menerima dukungan hebat sepanjang musim adalah Selangor FC yang beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Musim ini, Selangor mencuri tumpuan apabila berjaya menghabiskan jualan tiket untuk beberapa perlawanan.

Selangor beberapa kali sold out jualan tiketnya musim ini. — Facebook/Selangor FC

Namun begitu, momentum itu terganggu apabila Selangor tumpas di kejohanan Asia serta terpaksa beraksi di Piala Cabaran selepas kalah dalam pusingan awal Piala Malaysia.

Dengan purata 8,263 orang kehadiran penonton setiap kali beraksi di Kelana Jaya, Selangor selesa menduduki tempat kedua kelab tertinggi kedatangan penyokong.

Johor Darul Ta'zim

Kelab yang berjaya mencatatkan rekod purata kehadiran penyokong terbaik musim ini adalah milik Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sekali lagi, JDT menikmati musim gemilang di peringkat domestik apabila meraih gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Penyokong JDT paling kerap ke stadium musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Oleh itu, tidak harian jika penyokong JDT berpusu-pusu memenuhi Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri musim ini bagi menyaksikan pemain Harimau Selatan beraksi.

Musim ini, JDT mencatatkan purata 14,095 kehadiran penyokong ke stadium. Statistik itu menjadikan ia jumlah tertinggi dicatatkan oleh mana-mana kelab Liga Super pada 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram