
HARAPAN Liverpool untuk mendapatkan khidmat bek tengah Bournemouth, Dean Huijsen menerima suntikan positif apabila Real Madrid dilaporkan masih belum membuat keputusan muktamad untuk menandatangani pemain tersebut pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pakar perpindahan terkemuka, Fabrizio Romano memaklumkan bahawa kelab gergasi La Liga berkenaan masih ragu-ragu sama ada mahu memperkukuhkan posisi pertahanan tengah mereka pada musim depan.
Situasi itu sekali gus membuka laluan lebih mudah buat Liverpool dalam usaha mendapatkan tandatangan pemain berusia 20 tahun itu, yang turut menjadi antara tiga sasaran utama kelab seperti yang disahkan oleh wartawan The Athletic, David Ornstein.
BACA LAGI: Tersenyum bersama, Salah bagi ‘hint’ jelas TAA kekal di Liverpool?
BACA LAGI: Siap ada tatu 'YNWA', bintang Sepanyol seakan tawar diri perkuat Liverpool
"Saya dengar secara dalaman di Real Madrid, mereka masih belum membuat keputusan sama ada mahu menandatangani pertahanan tengah atau tidak musim panas ini, dan berapa banyak mereka mahu belanjakan.
"Real ada Raul Asencio yang sedang bermain dengan baik. Jadi mereka tidak terlalu tergesa-gesa. Ini memberi kelebihan kepada kelab-kelab Inggeris seperti Liverpool, Arsenal dan Chelsea untuk mendapatkannya," kata Romano menerusi podcast Market Madness.
Huijsen yang menyertai Bournemouth daripada Juventus dengan nilai sekitar £12.9 juta (RM77.5 juta) musim panas lalu sudah menampilkan aksi cemerlang sepanjang musim ini di bawah kendalian Andoni Iraola.
Dengan klausa pelepasan bernilai £50 juta (RM300.5 juta) dalam kontraknya, pemain skuad kebangsaan Sepanyol itu kini menjadi rebutan beberapa kelab utama Eropah termasuk Bayern Munich dan Newcastle United.
Pakar perpindahan terkemuka, Fabrizio Romano. — Agensi
Menurut sumber TEAMtalk, Bournemouth telah pun bersedia untuk melepaskan pemain muda itu, Malah, skuad The Reds dilaporkan telah memulakan rundingan awal dengan wakil pemain tersebut.
Wartawan perpindahan, Fraser Fletcher sebelum ini mendedahkan bahawa Huijsen telah melepasi tiga kriteria utama yang ditetapkan oleh Fenway Sports Group (FSG) untuk perpindahan ke Anfield, menjadikan peluang The Reds untuk mendapatkan tandatangannya semakin cerah.
Musim panas ini dijangka menjadi fasa penting buat pengendali Liverpool, Arne Slot yang berkemungkinan besar bakal menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada kelab dalam musim pertamanya.
Walaupun Virgil van Dijk baru sahaja memperbaharui kontraknya selama dua tahun, Slot dikatakan masih mahu menambah pemain berkualiti untuk memberikan saingan dan kedalaman skuad, memandangkan ketidaktentuan prestasi Ibrahima Konate.
Prestasi Konate bersama Liverpool masih menjadi bahan kritikan penyokong The Reds. — Agensi
Selain Huijsen, satu lagi nama dikaitkan ialah Milos Kerkez iaitu pemain pertahanan kiri Bournemouth, yang turut berada dalam radar Liverpool sebagai sebahagian daripada potensi perpindahan mereka.
Menariknya, beberapa sumber turut melaporkan bahawa Huijsen sendiri lebih cenderung untuk kekal di EPL dan melihat perpindahan ke kelab besar seperti Liverpool sebagai langkah terbaik untuk mengembangkan kariernya ke tahap seterusnya.
Dengan minat tinggi dari pelbagai kelab dan keinginan pemain untuk kekal di England, keputusan muktamad dijangka bakal diumumkan dalam masa terdekat, dengan satu tarikh akhir perpindahan akan ditetapkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram