[VIDEO] Gaya keraian 'bang bang' Kobbie Mainoo rupanya mesej buat rakan sepasukan


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Jaringan Mainoo mengikat kedudukan kedua-dua pasukan selepas Manchester United pada satu ketika ketinggalan dengan dua gol. — Agensi

KEBANGKITAN menakjubkan pada minit-minit akhir dipamerkan Manchester United ketika aksi suku akhir kedua Liga Europa UEFA (UEL) ketika menentang Olympique Lyonnias di laman sendiri pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan itu sebelum ini terikat 2-2 dalam pertembungan pertama di Perancis dengan kesilapan penjaga gol The Red Devils, Andre Onana menjadi topik utama perlawanan.

Bagaimanapun, dalam aksi di Old Trafford, kisah sebaliknya menjadi perhatian apabila kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menunjukkan karakter untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 7-6.

BACA LAGI: Kobbie Mainoo pilih tinggalkan Man United, tambah derita Amorim

BACA LAGI: Tak cukup pedih Man United hilang Mainoo, Arsenal pula jadi pilihan 'striker' idaman Amorim

Gol paling sukar dilupakan pastinya daripada bek tengah, Harry Maguire yang menanduk masuk umpanan Bruno Fernandes untuk memastikan kemenangan 5-4 buat Manchester United selepas mereka pada satu ketika ketinggalan dengan dua gol/

Namun, kredit juga harus diberikan kepada pemain tengah, Kobbie Mainoo yang mengikat kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-120 permainan apabila dia tenang menumpaskan penjaga gol lawan untuk mengikat kedudukan 4-4.

Selepas menerima hantaran Casemiro, pemain muda England itu melepaskan rembatan deras untuk mengatasi Lucas Perri dengan gol terbabit mencetuskan kemeriahan dalam kalangan puluhan ribu penyokong di stadium.

Jaringan daripada Mainoo itu diikuti gaya keraian menarik daripada 'ubi muda' Manchester United berkenaan dengan dia tampil menjelaskan ia dibuat sebagai tanda peringatan terhadap Joshua Zirkzee.

Dalam satu hantaran di Instagram, Mainoo mengutuskan mesej kepada rakan sepasukannya itu dengan kapsyen 'Mengirimkan tanda sayang kepada 'penembak' sebenar, Zirkzee' berserta dua keping foto daripada perlawanan.

Tindakan dibuatnya itu cukup menyentuh hati penyokong Manchester United kerana Zirkzee dilaporkan terpaksa melupakan hasrat kembali beraksi musim ini akibat kecederaan hamstring dialaminya.

Ini menunjukkan persahabatan dan persefahaman akrab dalam skuad The Red Devils meskipun ada yang mengatakan terdapat suasana tegang dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan.

Meskipun tidak berada pada prestasi terbaik di peringkat domestik, pasukan kendalian Ruben Amorim itu masih menunjukkan daya saing di pentas Eropah kerana hanya berbaki tiga perlawanan untuk menjulang UEL buat kali kedua dalam sejarah kelab.

Skuad The Red Devils akan berdepan wakil Sepanyol, Athletic Bilbao di peringkat separuh akhir dengan perlawanan pertama akan diadakan di tempat lawan pada 2 Mei depan sebelum aksi timbal balik berlangsung seminggu kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram