
KARIER seorang pemain bola sepak bukanlah lama mana, lazimnya mereka akan aktif bermain dalam 10 hingga 15 tahun jika tidak terkena kecederaan serius.
Lazimnya, selepas tamat bermain, ada pemain mengubah karier mereka tetapi masih kekal dalam landskap bola sepak sama ada menjadi jurulatih, penganalisis di televisyen atau terlibat dalam akademi membangunkan bakat muda.
Namun begitu, ada juga yang mensasarkan tingkat lebih tinggi dengan ingin mengetuai sesebuah badan induk dan mengubah bola sepak secara keseluruhan.
BACA LAGI: Bukan saja Hariss, ex-Kedah berpeluang cipta sejarah bersama kelab Singapura
BACA LAGI: Hariss Harun kembali ke SSI, kali ini pegang watak 'antagonis'
Hariss dijangka menyertai pucuk pimpinan FAS bagi penggal 2025 hingga 2029.
Itulah yang berlaku bagi bekas bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun yang kini dilaporkan bertanding mendapatkan posisi sebagai naib presiden di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Pemerhati bola sepak Singapura, Deepanraj Ganesan melaporkan Hariss akan bertanding sebagai salah satu daripada calon Naib Presiden FAS bagi penggal 2025-2029.
Dia yang masih lagi bermain bersama-sama Lion City Sailors (LCS) akan bertarung menentang pengurus besar kelab itu sendiri, Tan Li Yu, Pengerusi Hougang United, Bill Ng dan Ketua Kakitangan Burnley FC di England, Sean Bai.
Selain Harris, dua lagi legenda bola sepak Singapura iaitu Aleksandar Duric serta Aide Iskandar turut bertanding namun mereka tidak mengesahkan posisi apa yang dicabar.
Keputusan akan diketahui pada kongres luar biasa yang diadakan FAS pada 28 April dengan Pengerusi LCS, Forrest Li dan Pengerusi BG Tampines Rovers, Desmond Ong bakal dilantik sebagai presiden dan timbalan presiden.
Jika dilantik, Hariss akan mengikut jejak langkah legenda Malaysia, Datuk Dollah Salleh yang menjadi naib presiden di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dollah turut mencipta sejarah apabila menjadi Naib Presiden FAM pertama yang dilantik dalam kalangan bekas pemain pada kongres diadakan 15 Februari lalu.
Selain Dollah, Datuk Zainal Abidin Hassan turut dilantik sebagai exco FAM bagi penggal 2025 hingga 2029. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram