
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui bahawa pihak kerajaan negeri sudah tidak mampu membantu menyelamatkan The Bos Gaurus (TBG) akibat kos operasi bola sepak Malaysia yang dianggap "mahal".
Memetik laporan Malaysia Gazette, Saarani berkata pada Ahad yang dia memahami keputusan diambil oleh pemilik Perak FC iaitu XOX Bhd untuk menarik diri daripada Liga Super musim depan.
Saarani turut menegaskan yang isu penarikan diri itu bukan hal terpencil, namun ia ibarat masalah besar dalam bola sepak negara.
BACA LAGI: 'Satu kehilangan besar', V Saravanan 'patah hati' lihat Perak tarik diri Liga Super
BACA LAGI: 'Suka tak suka', Perak kena bermula dari bawah, lepaskan pemain berstatus bintang
Datuk Seri Saarani Mohamad
"Permainan bola sepak di Malaysia ini terlalu mahal. Ia tidak lagi mampu ditanggung oleh kerajaan negeri. Sebab itu kita bersetuju supaya pihak swasta mengambil alih dan menaja kelab-kelab bola sepak.
"Saya sangat faham keputusan Perak FC untuk dibubarkan. Itu keputusan terbaik untuk mereka," kata Saarani.
Saarani berkata, walaupun Perak tidak lagi bertanding, namun bola sepak di negeri itu masih 'hidup' menerusi pembangunan akar umbi menerusi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Sebelum ini, Pengerusi Perak, Datuk Seri Azim Zabidi mengatakan mereka sudah menghabiskan sekitar RM30 juta perbelanjaan untuk memastikan TBG terus bersaing di Liga Super.
Keputusan Perak untuk menarik diri itu bertitik tolak daripada tindakan mereka tidak menghantar skuad bagi Piala Belia dan Piala Presiden.
Kemudian, tular apabila pihak pengurusan menawarkan 20 peratus daripada hutang enam bulan gaji kepada para pemain sebagai jalan penyelesaian buat masalah kewangan dihadapi.
Selain Perak, antara kelab lain yang masih kabur status mereka akan beraksi di Liga Super musim depan adalah Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram