
SELEPAS mengumpul 71 penampilan buat skuad Gergasi Merah, Safuwan Baharudin akhirnya mengucapkan selamat tinggal buat pasukan itu dengan khabar angin kuat mengatakan dia akan pulang ke Singapura.
Dia yang pernah meninggalkan kelab berkenaan pada 2023 seperti tidak akan kembali ke Lembah Klang kerana usianya sudah mencecah 33 tahun selain Selangor FC bersedia mencari bek tengah baharu lebih muda.
Keputusan tersebut sudah tentu melukakan hati sebahagian penyokong memandangkan Safuwan merupakan kapten pasukan yang dapat membimbing bintang muda seperti Zikri Khalili dan Harith Haiqal.
BACA LAGI: Safuwan pilih pulang ke kampung halaman, sertai bakal juara ACL2
Safuwan (dua dari kanan) memiliki pengaruh cukup besar dalam skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Pemergiannya akan mencipta tugasan baharu buat pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi untuk pemakai lilitan tangan baharu dalam skuad Gergasi Merah yang memiliki pengalaman luas seperti Safuwan.
Bagaimanapun, dilema itu bukan sahaja dialami Selangor FC kerana khabar angin terbaru mengatakan beberapa kelab lain turut akan meninggalkan kapten pada jendela perpindahan kali ini.
Melihat kepada laporan tidak rasmi di media sosial, berikut merupakan tiga pasukan yang akan mengalami situasi tersebut dengan pemergian mereka akan meninggalkan impak besar dalam pasukan.
1. Jordi Amat (JDT)
Pada saingan Liga Super 2022, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengejutkan ramai pihak selepas membawa masuk Jordi Amat yang pada ketika itu baru sahaja menerima status pemain warisan Indonesia.
Bek tengah berkenaan pada awalnya hanya disambar bagi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan pengalamannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan LaLiga diharapkan dapat membawa nafas baharu buat pasukan.
Bagaimanapun, impak besar dibawanya buat skuad Harimau Selatan menyaksikan jaguh Liga Super tersebut mengekalkan khidmatnya sehingga hari ini dengan 66 penampilan sudah direkodkan.
Jordi Amat (kiri) merupakan antara import terbaik pernah beraksi buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, baru-baru ini, kedengaran khabar angin kononnya pemain kelahiran Sepanyol itu akan meninggalkan JDT dan berkelana ke Indonesia kerana kontraknya akan berakhir pada 31 Mei depan.
Meskipun masih belum dimuktamdakan, Jordi Amat seperti sudah menemui destinasinya bagi kempen akan datang dengan Bali United dan Persib Bandung dilaporkan berminat akan khidmatnya.
Kehilangan Jordi Amat yang berusia 33 tahun akan memberi tugasan baharu buat Hector Bidoglio untuk mencari kapten baharu Harimau Selatan dengan Afiq Fazail dan Natxo Insa merupakan calon terbaik.
2. Kpah Sherman (Sri Pahang FC)
Nama Kpah Sherman tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak tanah air kerana penyerang kebangsaan Liberia tersebut sudah lama beraksi dalam Liga Malaysia, iaitu sejak 2017.
Selain pernah beraksi buat Sri Pahang FC yang merupakan pasukannya hari ini, pemain tinggi lampai itu juga pernah mewakili beberapa pasukan lain seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PKNS FC.
Jadi, selepas lapan musim beraksi, laporan mengatakan Kpah sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada saingan bola sepak tempatan dengan pendahulu Liga Indonesia, Persib Bandung dikatakan berminat dengan khidmatnya.
Kpah dilaporkan menarik minat kelab Indonesia selepas bermusim-musim beraksi dalam Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun tidak pernah menghabiskan masa di negara jiran itu, penyerang berusia 33 tahun tersebut cukup dikenali pengendali kelab terbabit, Bojan Hodak yang juga cukup sinonim dengan Liga Malaysia.
Sekiranya khabar angin tersebut bertukar rasmi, ia akan meninggalkan kesan besar terhadap skuad Tok Gajah kerana pemain tersebut sudah diberikan peranan kapten oleh Fandi Ahmad sejak tiba musim lalu.
Namun, pengendali Sri Pahang FC tidak perlu gusar kerana skuad Tok Gajah ketika ini memiliki beberapa calon untuk menggantikannya seperti Fadhli Shas dan Nor Azam Azih.
3. Park Tae-su (Sabah FC)
Selain memiliki ciri kepimpinan yang tebal dalam diri, Park Tae-su diangkat sebagai pemimpin kerana sudah lama beraksi di kelab Borneo tersebut sejak tiba pada 2019.
Sepanjang tempoh tersebut, pemain kelahiran Korea Selatan itu sudah berjaya menguasai Bahasa Melayu dan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, sekali gus menjadikannya individu terbaik untuk memikul peranan berkenaan.
Bagaimanapun, musim ini, kebergantungan skuad Sang Badak terhadapnya kian merosot selepas dia mengalami isu kecergasan yang menyaksikannya peluangnya untuk beraksi kian terhad.
Isu kecergasan menyaksikan kebergantungan skuad Sang Badak terhadap Tae-su kian berkurangan. — Facebook/Sabah FC
Ketiadaannya dalam pasukan memaksa barisan kejurulatihan meletakkan kepercayaan kepada Dominic Tan untuk menjadi kapten dengan ini membenarkan Tae-su berkelana sekiranya terdapat tawaran mana-mana pasukan.
Meskipun tidak dikenal pasti manakah destinasi bakal ditujunya, khabar angin ketika ini kuat mengatakan tonggak Sabah FC itu akan berkelana selepas hampir enam tahun bersama kelab terbabit.
Terdapat juga kemungkinan untuk Tae-su menamatkan kariernya kerana dia sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara di sana sebelum meneruskan perniagaan kecil-kecilan yang sudah dibangunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram