Tak pernah sendu, 3 final Piala Malaysia sukar dilupakan


  • Podium
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Piala Malaysia musim ini akan menyaksikan pertembungan antara JDT dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

90 MINIT mendebarkan menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada Sabtu.

Meskipun ramai sudah meramalkan skuad Harimau Selatan akan mudah mempertahankan gelaran, skuad Tok Gajah yang tiba dengan status 'underdog' pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada pihak lawan.

Jadi, ini akan menjanjikan persaingan hangat buat kedua-dua pasukan yang hadir dengan misi berbeza kerana JDT mahu menjadi pasukan pertama menjuarainya buat kali ketiga berturut-turut sementara Sri Pahang FC mahu menamatkan penantian hampir tujuh tahun untuk membawa pulang gelaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan isu lama berulang, Fandi harap final Piala Malaysia tak berat sebelah

BACA LAGI: Rembatan terkena tiang, kad merah menghiasi pertemuan terakhir JDT-Sri Pahang di pentas final Piala Malaysia

Sri Pahang FC dan JDT akan berentap untuk menjulang trofi Piala Malaysia 2024/25. Facebook/MFL

Sekiranya aksi hangat dapat disaksikan, ia pasti sukar dilupakan mana-mana penyokong yang akan mengabadikan momen tersebut dalam diri masing-masing dan pasti diceritakan kepada generasi akan datang.

Hal sedemikian sudah dapat disaksikan pada edisi lalu apabila beberapa pertembungan di pentas akhir Piala Malaysia meninggalkan kenangan sukar dilupakan yang diceritakan sehingga hari ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, berikut merupakan tiga aksi final yang terus terpahat dalam memori peminat bola sepak tanah air meskipun sudah beberapa tahun berlalu.

1. Kejutan KL City FC ke atas JDT (2021)

Saingan Piala Malaysia 2021 merupakan sesuatu yang amat istimewa dalam arena bola sepak tanah air kerana ia dianjurkan pada tahun ke-100 dengan semua pasukan bertanding mahu memberikan persembahan terbaik.

Bagaimanapun, kejutan dilakar KL City FC yang ketika itu kurang dikenali selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.

Perjalanan mereka juga bukanlah mudah kerana dalam peringkat kumpulan, mereka bertemu Sri Pahang FC, Penang FC dan Sarawak United sebelum diundi berdepan Selangor FC dan Melaka United di pusingan kalah mati.

Skuad Warga Kota menjuarai edisi khas Piala Malaysia 2021 selepas mengejutkan JDT. Facebook/Kuala Lumpur City

Tidak terhenti di situ, cabaran besar menanti di perlawanan akhir apabila skuad Warga Kota berdepan JDT yang juga bercita-cita besar muncul juara Piala Malaysia pada tahun ke-100 penganjurannya.

Kejutan sekali lagi dicipta KL City FC yang dikendalikan Bojan Hodak selepas mereka menundukkan skuad Harimau Selatan dengan dua gol dijaringkan tanpa dibalas pihak lawan.

Kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu kemudian menaikkan nama kelab Lembah Klang itu dalam kalangan peminat bola sepak selepas mereka pernah dilupakan beberapa tahun lalu.

2. Kebangkitan bersejarah Perak (2018)

Kali terakhir JDT gagal melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia adalah pada 2018 dengan  duaslot finalis pada edisi berkenaan diisi Terengganu dan Perak yang mempunyai sejarah tersendiri dalam kejohanan berkenaan.

Jadi, tidak hairanlah apabila perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor itu dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan yang mahu menyaksikan perlawanan istimewa.

Bagaimanapun, semangat peminat Perak luntur seawal minit pertama permainan selepas kealpaan benteng pertahanan menyaksikan pasukan Pantai Timur berkenaan meraih gol pendahuluan menerusi Tchetche Kipre.

Perak muncul juara Piala Malaysia 2018 selepas aksi epik yang berakhir dengan keputusan 3-3.

Namun, semangat juang skuad The Bos Gaurus (TBG) menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan selepas Brendan Gan mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol lewat pada waktu kecederaan.

Kemeriahan pertembungan tersebut tidak terhenti di situ apabila dua lagi gol disaksikan pada 30 minit yang dilanjutkan, termasuk jaringan sendiri Igor Zonjic yang membawa aksi ke penentuan sepakan penalti.

Perlawanan berkenaan akhirnya berakhir dengan kemenangan buat Perak, namun peminat kedua-dua pasukan jelas kelihatan puas dengan perlawanan yang masih dibincangkan sehingga hari ini.

3. Final mendebarkan lengkapkan treble Kelantan (2012)

Sebelum tenggelam dibawa arus bola sepak tempatan, Kelantan pernah menjadi gergasi yang amat digeruni, lebih-lebih lagi pada musim 2012 ketika mereka berjaya melengkapkan gelaran treble.

Mereka yang terlebih dahulu menjuarai Liga Super dan Piala FA hadir ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan keazaman membara untuk memberi persembahan terbaik di hadapan ribuan penyokong.

Bagaimanapun, skuad The Red Warriors (TRW) yang terlebih dahulu berada di depan dengan kelebihan dua gol di Stadium Shah Alam berdepan kejutan daripada ATM FA yang bangkit mengikat kedudukan.

Kejayaan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 melengkapkan gelaran treble Kelantan.

Perlawanan itu kemudiannya diheret ke masa tambahan dengan kedua-dua pasukan kelihatan terdesak untuk mencari satu lagi jaringan bagi mengelakkan aksi dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Namun, pengalaman dimiliki anak-anak buah Bojan Hodak jelas memainkan peranan apabila penyerang utama, Indra Putra Mahayuddin meledak pada minit ke-96 permainan untuk mengembalikan kelebihan kepada mereka.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan pasukan Pantai Timur itu melengkapkan gelaran treble dengan pencapaian itu sukar diulangi hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram