
SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 baru sahaja menutup tirainya dengan menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal menjadi pasukan terunggul Liga Malaysia (Liga M) apabila merekodkan 11 kejuaraan bagi saingan tertinggi domestik itu.
Manakala, pasukan lain pula mengalami musim naik turun pada tahun ini apabila ada yang mengalami kemerosotan prestasi dek isu kewangan dan terdapat juga kelab kekal utuh di kedudukan sama sejak musim lepas.
Misalnya, Penang FC yang menutup saingan Liga Super 2024/2025 dengan berada di kedudukan ke-10 selepas pasukan Utara tanah air berkenaan merekodkan enam kemenangan, lapan seri dan selebihnya tewas dalam 24 perlawanan.
BACA LAGI: Dua kali kecewa di negeri sendiri, bakat muda Kelantan disebut sertai Penang
BACA LAGI: Sempat beri penghormatan buat Milos, bek Kedah hampir jadi milik Penang
Kedudukan tersebut juga seperti ulangan prestasi musim 2023, yang menyaksikan Harimau Kumbang juga menghuni posisi sama dengan merekodkan 24 mata daripada 26 perlawanan diharungi mereka.
Mencatat keputusan sama dalam dua musim berturut-turut berkenaan pastinya menjadi pemangkin semangat buat pihak pengurusan Harimau Kumbang membuat perubahan besar dengan membawa beberapa pemain baharu untuk kekal memberi saingan.
Justeru itu, tidak hairan untuk mendengar beberapa nama pemain dari kelab lain didakwa bakal bertukar jersi ke Penang FC dengan ada di antara khabar angin tersebut sudah disambut baik oleh penyokong Harimau Kumbang.
Walaupun belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan mengenai desas-desus terbabit, kali ini Majoriti menyenaraikan lapan pemain yang dikaitkan dengan Harimau Kumbang untuk memperkasakan saingan musim depan.
1) Bruno Suzuki
Bruno dikhabarkan akan ke Penang FC. — Facebook/PDRMFC
Penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki menjadi sasaran Harimau Kumbang pada musim depan selepas pemain Jepun-Brazil itu tampil dengan persembahan cemerlang sejak menyertai Sang Saka Biru pada awal 2023.
Untuk rekod, pemain berusia 34 tahun berkenaan sudah merekodkan 16 jaringan gol dan enam bantuan jaringan dalam 51 perlawanan Bruno bermain untuk pasukan Lembah Klang itu sejak musim 2023.
Walaupun jumlah berkenaan tidak terlalu tinggi jika dibandingkan pemain lain, Bruno bagaimanapun menjanjikan kemampuan beraksi di posisi lain apabila dia mampu bertugas sebagai sayap kiri dan kanan, pemain tengah menyerang dan pemain tengah bertahan.
2) Fazrul Amir
Fazrul sebelum ini cemerlang bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Harimau Kumbang juga dikatakan berminat untuk membawa masuk tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Fazrul Amir selepas pemain itu juga sendiri mahu membawa haluan baharu selepas menabur bakti di negeri kelahiran.
Laporan tersebut menimbulkan keriangan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang yang berminat akan kebolehan penyerang sayap berkenaan selepas bersinar di Pantai Timur bersama KDN FC dan Kelantan FC.
Tidak terhenti di situ, bakatnya turut memukau orang ramai ketika dia beraksi buat Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF lalu dengan kesungguhan serta kelincahan di atas padang mencipta kelainan.
3) J. Partiban
Partiban jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Warga Kota. — Facebook/KLCity
Nama penyerang kiri Kuala Lumpur (KL) City FC, J. Partiban juga berada dalam senarai sasaran Harimau Kumbang bagi menguatkan bahagian tersebut susulan kini mereka hanya mengharapkan Aidil Danial dan Alif Ikmalrizal.
Berketinggian 1.75 meter berkenaan merupakan pemain kidal yang memiliki sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menjadi senjata untuk pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail pada musim depan.
Dengan pemain berkenaan pada musim ini banyak dimasukkan sebagai tonggak gantian sahaja, Partiban pastinya mahu membawa haluan baharu yang mampu memberikan dia minit permainan yang banyak untuk meningkatkan mutu permainannya.
4) Fergus Tierney
Tierney sedang menyinar bersama Nakhonpathom United. — Facebook/ Nakhonpathom
Pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Fergus Tierney menjadi antara pilihan penyerang tengah yang boleh dipertimbangkan Penang FC lagi-lagi tonggak itu mempunyai sentimen di negeri dengan gelaran Pulau Mutiara berkenaan.
Penang ibarat rumah keduanya dalam bola sepak apabila Tierney memulakan kerjaya dalam sukan berkenaan dengan menjadi pemain akademi dari Penang, Soccer Experience FC ketika berusia 4 tahun.
Penyerang muda kebangsaan itu kini sedang mencipta nama di saingan Liga Thailand bersama Nakhonpathom United dengan Tierney sudah mencetak tiga gol untuk pasukan berkenaan sejak dia menyertai kelab tersebut pada Januari lepas.
5) Ariff Farhan
Ariff Farhan merupakan bek kiri KDA FC. — Facebook/KDAFC
Bek kiri Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ariff Farhan Mohd Isa difahamkan menerima tawaran daripada Penang FC dan perpindahan itu dijangka boleh berlaku susulan masalah gaji yang sedang menimpa Sang Kenari.
Ariff Farhan yang merupakan antara tonggak utama Kedah dalam beberapa musim terakhir, dikenali dengan larian pantas serta kebolehannya menyokong serangan dari bahagian sayap kiri.
Kehilangan anak jati Pokok Sena, Kedah itu pastinya akan dirasai oleh skuad Hijau Kuning, terutamanya dari segi kestabilan di bahagian pertahanan dan juga pengalaman yang dimilikinya.
6) Nick Swirad
Nick bakal membawa haluan ke Penang FC? — Facebook/KLCity
Pertahanan tengah skuad Warga Kota, Nick Swirad juga disebut-sebut bakal ke Harimau Kumbang pada musim depan dengan pemain berusia 33 tahun itu juga kini jarang mendapat peluang bersama KL City.
Musim ini sahaja, pemain warisan Malaysia-England berkenaan hanya tampil dalam lapan perlawanan domestik. Ia jelas satu catatan yang kurang meyakinkan untuk menjadikannya sebagai pemain baharu pada musim depan.
Walaupun begitu, Nick merupakan pemain berpengalaman yang pernah beraksi dengan kelab tempatan seperti JDT, Melaka, PKNS FC, Selangor FC, Sri Pahang. Dia juga membantu Nongbua Pitchaya menjadi juara saingan Thai League 2 musim 2020/2021.
7) Hafizul Hakim
Hafizul didakwa akan menjadi benteng terakhir Penang FC. — Facebook/ PenangFC
Dengan Penang FC bakal kehilangan penjaga gol utama mereka iaitu Sikh Izhan Nazrel susulan pemain pinjaman itu akan kembali ke Selangor FC, Harimau Kumbang memerlukan satu lagi tonggak untuk mengisi benteng terakhir.
Khabar angin terdekat yang sedang dibincangkan penyokong Harimau Kumbang mengatakan Hafizul Hakim menjadi calon bakal mengisi kekosongan pemain kebangsaan tersebut sebagai penjaga gol Penang.
Hafizul yang pernah beraksi untuk Harimau Kumbang pada 2023 merupakan penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim ini namun dia sekadar tampil dalam sembilan aksi dengan dua daripadanya adalah Kejuaraan Kelab Asean.
8) Hector Hevel
Hevel kini merupakan tonggak tengah skuad kebangsaan. — Facebook/MalaysiaNT
Demi menunjukkan tahap serius mereka dalam memperbaharui Penang FC, pihak pengurusan kelab terbabit difahamkan menyasarkan pemain warisan Harimau Malaya baharu iaitu Hector Hevel bagi memperkukuhkan bahagian tengah.
Khabar angin berkenaan bermula selepas laman penyokong iaitu Penang Brotherhood mendakwa Harimau Kumbang yang kini diketuai oleh Wan Rohaimi mahu menggunakan khidmat tonggak warisan Malaysia-Belanda itu.
Bagaimanapun, hasrat tersebut dilihat agak mustahil untuk dijayakan apabila pemain berusia 28 tahun berkenaan sedang menjadi tonggak utama pasukan Portugal, Portimonense yang sedang bersaing di divisyen kedua negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram