
TONGGAK Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.
Dalam Majlis ABK 2024-2025 yang berlangsung pada Rabu itu menyaksikan sebanyak 17 kategori dipertandingkan dengan Arif Aiman membawa pulang tiga anugerah iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025 dan Fans XI (Penyerang).
BACA LAGI: Tersenyum bersama, Salah bagi ‘hint’ jelas TAA kekal di Liverpool?
BACA LAGI: Siap ada tatu 'YNWA', bintang Sepanyol seakan tawar diri perkuat Liverpool
Kecemerlangan itu meletakkan Arif Aiman berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 sehingga 2012.
Ia juga merupakan musim pertama Arif Aiman memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 sehingga 2023.
Tidak dinafikan pencapaian Arif Aiman itu membuktikan penyerang sayap berkenaan sememangnya permata berharga tanah air namun isu ketandusan pelapis menjadi persoalan dalam kalangan penyokong.
Pandangan tersebut turut dikongsikan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang mengatakan bahawa kejayaan Arif Aiman berkenaan merupakan gambaran kegagalan program pembangunan seperti Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).
"Ia memang petanda yang tidak begitu baik untuk bola sepak negara dengan anugerah yang dinobatkan pada Arif Aiman. Kita perlu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti yang hampir setanding kebolehannya.
"Jadi ini gambaran kepada kegagalan program pembangunan bola sepak kita khususnya pemain-pemain yang sepatutnya muncul dari Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari dan pelbagai akademi bola sepak di setiap negeri.
"Bagi saya Arif Aiman juga bertuah selain bakat luar biasanya kerana dia juga dikelilingi pemain-pemain hebat di JDT yang turut menjadi 'push factor' kepada penonjolannya," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Pekan juga berharap agar Arif Aiman membuktikan kecemerlangannya di Harimau Selatan bersama skuad kebangsaan bagi menutup suara-suara tidak enak yang mengkritik persembahan pemain berkenaan setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya.
Arif Aiman ketika menang 2-0 ke atas Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lepas. — Facebook/Malaysia
Situasi dialami oleh Arif itu kemudiannya disamakan dengan masalah dihadapi oleh pemain England, Phil Foden serta bintang Brazil, Vinicius Jr yang gagal membawa prestasi baik di kelab bersama skuad kebangsaan.
"Saya setuju jika pada dekad ini Arif Aiman antara pemain terbaik pernah dilahirkan negara kita. Cuma kita berharap dia lebih menonjol dan konsisten menyumbang gol setiap kali diturunkan beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Tidak dinafikan di peringkat kelab atau saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) prestasinya di Asia telah menjadi igauan banyak pasukan. Kehebatannya perlu seiring dan menonjol tatkala dia beraksi untuk Harimau Malaya," tambahnya.
Untuk rekod, Arif Aiman yang debut skuad kebangsaan Mei 2021 itu baru mencetak tujuh gol dan 10 bantuan jaringan dalam 33 penampilannya untuk skuad Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram