'Penat dapat maki begini', Khatul pantas nafi dapat tawaran ke Penang FC lepas dipangkah fans Harimau Kumbang


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Khatul tampil menafikan khabar angin yang mengaitkannya dengan Penang FC. —  Facebook/PenangFC

PENANG FC menutup saingan Liga Super 2024/2025 dengan berada di kedudukan ke-10 selepas pasukan Utara tanah air berkenaan merekodkan enam kemenangan, lapan seri dan selebihnya tewas dalam 24 perlawanan. 

Kedudukan tersebut juga seperti ulangan prestasi musim 2023, yang menyaksikan Harimau Kumbang juga menghuni posisi sama dengan merekodkan 24 mata daripada 26 perlawanan diharungi mereka. 

Musim yang tidak boleh dibanggakan Harimau Kumbang itu pastinya menjadi sebab pihak pengurusan sepertinya sedang membuat persiapan untuk membawa beberapa bintang baharu bagi memperkasakan pasukan pada musim depan. 

BACA LAGI: Dua kali kecewa di negeri sendiri, bakat muda Kelantan disebut sertai Penang

BACA LAGI: Sempat beri penghormatan buat Milos, bek Kedah hampir jadi milik Penang

Justeru itu, tidak hairan untuk mendengar beberapa nama pemain dari kelab lain didakwa bakal bertukar jersi ke Penang FC dengan ada di antara khabar angin tersebut sudah disambut baik oleh penyokong Harimau Kumbang. 

Antara pemain sudah mendapat sokongan penuh daripada penyokong dan berada dalam radar Penang FC berkenaan ialah Fazrul Amir Zaman yang sepanjang kariernya beraksi di Kelantan kerana ia merupakan negeri kelahirannya.

Khabar angin tersebut dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC tersebut akan berkelana ke Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Berbeza dengan Fazrul, nama dua penjaga gol iaitu Khatul Anuar dan Hafizul Hakim pula tidak mendapat restu penyokong selepas nama mereka dikaitkan akan ke Penang FC pada musim baharu nanti. 

Fazrul Amir memiliki kelincahan yang cukup memukau sepanjang beraksi di Pantai Timur. — Facebook/KDN FC

"Ini Khatul dengan Hafizul cadangan siapa? Jurulatih penjaga gol? Jurulatih penjaga gol pun kalau tidak cemerlang lagi, berhenti sahaja. Banyak lagi jurulatih di luar sana yang nak kerja. Hanya yang terbaik sahaja kekal," kata laman penyokong, Penang Brotherhood. 

Hafizul yang pernah beraksi untuk Harimau Kumbang pada 2023 merupakan penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim ini namun dia sekadar tampil dalam sembilan aksi dengan dua daripadanya adalah Kejuaraan Kelab Asean. 

Manakala, Khatul pula ditugaskan sebagai penjaga gol kedua skuad Kijang Emas dengan pemain berusia 28 tahun tersebut hanya diberikan kepercayaan dalam enam perlawanan Liga Super musim 2024/2025. 

Khabar angin mengaitkan Khatul kembali ke kelab lamanya itu tidak bertahan lama apabila pemain kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut pantas menafikan khabar angin yang mengaitkannya dengan Penang FC. 

Tangkap layar respons daripada Khatul.

"Salam admin, semua itu tidak benar. Penat dapat maki begini. Tiada siapa yang hubungi dan tiada tawaran diberikan. Cari penjaga gol lebih layak di sana. Terima kasih, dapat pahala percuma begini," katanya yang pernah berkhidmat untuk Harimau Kumbang pada 2022 hingga 2023. 

Untuk rekod, Khatul tiba ke bumi George Town pada musim 2022 bagi untuk membina semula kariernya di Liga Malaysia (Liga M) selepas hanya memanaskan bangku simpanan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC untuk saingan 2018 hingga 2021.

Penjaga gol dengan ketinggian 1.78 meter berkenaan berjaya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Kumbang untuk musim 2022 dengan tampil dalam 12 perlawanan domestik.

Musim 2023 bagaimanapun bukan tahun yang memuaskan untuk Khatul apabila dia hanya diturunkan untuk dua perlawanan bersama Penang FC dan selebihnya, penjaga gol muda iaitu Azfar Arif mendapat kepercayaan pengendali Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid sebelum kedua-dua mereka direhatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram