
UMUM mengetahui Sri Pahang FC akan tiba menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dalam keadaan sedikit tempang apabila kehilangan tiga pemain.
Pasukan bimbingan Fandi Ahmad dilaporkan akan kehilangan Kpah Sherman susulan penggantungan perlawanan, David Rowley yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut dan Manuel Hidalgo pula tidak boleh beraksi menentang kelab majikannya itu.
Walaupun begitu, Fandi optimis bahawa persiapan skuad bimbingannya tidak terjejas meskipun ketiadaan mereka lagi-lagi duo serangan Tok Gajah iaitu Sherman dan Hidalgo di bahagian hadapan.
BACA LAGI: Semoga Kedah kembali digeruni — Hidalgo
Bukan hanya pengendali kelahiran Singapura berkenaan, Hidalgo juga yakin rakan sepasukannya akan memberikan sehabis baik bagi memberikan kualiti persembahan yang memuaskan buat penyokong Tok Gajah.
Menerusi satu video yang ditujukan khas buat penyokong kelab Pantai Timur berkenaan, pemain kelahiran Argentina itu mahu rakan sepasukan dan penyokong untuk menikmati pentas final Piala Malaysia selepas 11 tahun tidak menghiasi aksi akhir kejohanan itu.
"Hai semua, saya Manuel Hidalgo. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penonton yang datang ke stadium pada final ini. Kami telah melalui perjalanan yang sangat panjang. Kami telah bermain dengan pasukan yang sangat bagus.
"Kami telah mencapai hasil yang luar biasa. Dan sekarang, bahagian terbaik adalah kami berada di final. Mungkin sukar menentang pasukan terbaik di Asia Tenggara dan pasukan terbaik di Liga. Oleh itu, kami perlu bekerja keras.
"Saya sedikit sedih kerana tidak dapat bermain. Tetapi saya tahu bahawa rakan-rakan akan melakukan kerja yang baik. Dan kita akan mencapai sesuatu bersama-sama. Nikmati parti ini. Buat yang terbaik kerana sudah lama tidak berada di final," katanya memetik video dimuat naik Instagram rasmi Sri Pahang.
Pemain berusia 25 tahun berkenaan menyertai semula Pahang pada awal musim 2024/2025 secara pinjaman dengan Hidalgo memainkan peranan penting untuk membantu Tok Gajah pada saingan domestik musim ini.
Hidalgo (kiri) tidak dapat diturunkan dalam final Piala Malaysia pada Sabtu.
Penyerang sayap kanan yang juga boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang itu meledak tujuh gol dan empat bantuan jaringan dalam 24 perlawanan Hidalgo diturunkan dalam semua kejohanan musim ini.
Oleh itu, ketiadaannya jelas menimbulkan kebimbangan penyokong Tok Gajah yang sekurang-kurangnya mahu menyaksikan Sri Pahang membolosi gawang Harimau Selatan pada pentas final Piala Malaysia.
Untuk rekod, Sri Pahang telah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali, dan bakal turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil ini sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara bertahan dari Selatan tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram