
MASALAH membelenggu Perak FC musim ini semakin meruncing apabila laporan terbaru mengatakan kelab tersebut mungkin tidak akan bertanding dalam Liga Super musim depan.
Kelab yang dibelenggu isu kewangan itu masih belum pulih daripada kemelut pernah dialami kira-kira tiga tahun lalu meskipun pelaburan besar sudah dilakukan pemilik, XOX Pro Sport Sdn Bhd.
Hal itu menyaksikan kebajikan pemain terus diabaikan dengan ura-ura mengatakan rata-rata tidak menerima bayaran sehingga lima bulan dengan isu sama turut menimpa barisan kejurulatihan.
BACA LAGI: Hantaran cetus persoalan, Clayton beri 'hint' tinggalkan TBG atau sahkan ura-ura Perak terkubur?
BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa
Clayton menyuarakan kekecewaan terhadap pihak pengurusan Perak FC atas masalah kewangan dialami. — Facebook/Perak FC
Menyedari keluhan masing-masing tidak kedengaran, sebahagian daripada mereka mula berkongsi kekecewaan di media sosial dengan penyerang import dari Brazil, Clayton da Silva antara yang berbuat demikian.
"Kami adalah profesional hingga akhir! Kami memenuhi kontrak kami! Kami menghormati baju Perak, penuhi pembayaran anda XOX! Kepada peminat, saya katakan (cadang) untuk menukar cip anda, XOX ini menghina profesionalisme mereka dan Tuhannya.
"Mr Roy Ho Yew Kee, ini adalah wajah lelaki kotor yang menjanjikan kami segala-galanya, bayar syarikat anda tetapi jaga kata-kata anda! Jika tidak, kami akan mencari anda!" tulisnya di Facebook Story.
Keluhan dikongsikan pemain tersebut bukanlah pertama daripada skuad TBG kerana sebelum ini, Wan Zack Haikal yang merupakan individu senior dalam pasukan berbuat demikian.
Meskipun tahu perkongsian sedemikian akan mengeruhkan keadaan, media sosial merupakan medium terbaik untuk menceritakan masalah pengurusan selepas tiada sebarang tindakan diambil.
Pembubaran Perak FC daripada arena bola sepak tempatan turut menerima respons daripada penyokong, namun ada yang mengharapkan perubahan drastik dapat disaksikan pada minit-minit akhir.
Penyokong skuad TBG mahu mendapatkan penjelasan mengenai masalah pengurusan kelab. — Facebook/Perak FC
"Drama bermula, bakal terus terkubur atau akan ada hero di hujung drama yang akan menyelamatkan pasukan ini? Pintu istana masih terbuka jika-jika ada yang mohon perkenan Tuanku untuk gunakan nama Perak Darul Ridzuan (PDR).
"Ini sebagai langkah penamaan semula jenama pasukan ini. Jeng-jeng, sama-sama kita nantikan apakah kesudahan drama ini," kata YB Wakmie.
"Harapnya adalah perubahan minit-minit akhir. Sayang rasanya jika Perak FC yang dahulu gah terus terkubur tanpa sebarang talian hayat. Manakah syarikat lain yang berpotensi?" soal Naim Haris.
Sekiranya skuad TBG tidak bertanding dalam Liga Super musim depan, terdapat kemungkinan hanya 12 pasukan bakal bersaing dengan jumlah tersebut amat merisaukan.
Angka tersebut dijangka terus menurun selepas beberapa kelab lain yang bermasalah seperti Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC difahamkan akan turut menarik diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram