
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk meningkatkan kuota pemain import kepada sembilan menyaksikan rata-rata pasukan mengambil manfaat daripada kelonggaran pihak pengelola itu.
Ini kerana kira-kira tiga musim kebelakangan ini, terdapat lambakan import dibawa masuk bagi meningkatkan tahap daya saing yang bagaimanapun gagal untuk disaksikan.
Perkara itu adalah disebabkan beberapa pemain luar negara diambil tidak mencapai standard, malah ada daripada mereka yang kurang menonjol berbanding bakat tempatan yang kurang berpengalaman.
BACA LAGI: 'Saya tak boleh buka mulut', Milos Gordic tinggalkan Kedah tanpa gaji
BACA LAGI: Sebak lihat Sony, Nafuzi tinggalkan Kedah, Milos Gordic luah kebimbangan bersama Sang Kenari
Saingan Liga Super sudah dilimpahi lambakan pemain import kebelakangan ini.
Kekurangan ditonjolkan tersebut kadang-kala menjadi buat mulut penyokong yang beranggapan kehadiran import tersebut hanya mensia-siakan memandangkan gaji diterima adalah lebih tinggi.
Meskipun tohmahan sedemikian dapat merosakkan hubungan kedua-dua pihak, ada di antara pemain yang menampilkan sisi berbeza dengan tidak pernah berputus asa demi membantu kelab masing-masing.
Kesungguhan ditonjolkan itu kerap membuahkan hasil kerana meskipun tidak dapat membawa kesan positif di atas padang, ia sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kepadea rakan sepasukan.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga import yang bergelut dalam Liga Super, namun kesetiaan dan kesungguhan dicurahkan berjaya mengubah persepsi ramai terhadap mereka.
1. Milos Gordic (KDA FC)
Nama pertama yang wajar diletakkan dalam senarai ialah penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic selepas kehadirannya pada awal musim menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ini kerana melihat kepada rekod lampau, pemain kelahiran Serbia tersebut tidak memiliki karier yang cemerlang dengan hanya 35 gol dicatatkan daripada 157 penampilan secara keseluruhan.
Prestasi terumbang-ambing itu turut dialami bersama skuad Sang Kenari kerana pemain tersebut bergelut untuk membantu pasukan meskipun memiliki kelebihan dari segi fizikal.
Gordic masih setia bersama skuad Sang Kenari meskipun mengalami isu pengurusan yang teruk. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, nama Gordic masih mekar di bibir penyokong pasukan Utara tanah air itu kerana meskipun tidak cemerlang di atas padang, dia masih memberi usaha terbaik setiap kali diturunkan.
Tidak terhenti di situ, penyerang tersebut masih mencurahkan kesetiaan terhadap KDA FC yang dialami masalah pengurusan serius dengan turun ke sesi latihan meskipun kebajikan terus terabai.
Hubungan baik kedua-dua pihak sekali lagi dikukuhkan kerana selepas kekalahan kepada Terengganu FC, Gordic meluahkan kekecewaan terhadap situasi dialami dengan mengatakan dia pulang ke kampung halaman tanpa sebarang wang berikutan masalah gaji.
2. Luka Milunovic (Perak FC)
Pada jendela perpindahan musim 2023, Perak FC membawa masuk peledak dari Serbia, Luka Milunovic yang sebelum itu pernah meraih pengalaman dalam Liga Super bersama Melaka dan Sabah.
Bagaimanapun, tempoh dihabiskan itu tidak membawa sebarang kelainan kerana pemain berkenaan bergelut untuk memberi impak terbaik dalam membantu skuad The Bos Gaurus (TBG) bersaing.
Dia yang bergelut dalam pelbagai posisi dalam barisan serangan berdepan kesukaran untuk mencipta persefahaman bersama rakan sepasukan seperti Lee Tae-min dan Wan Zack Haikal.
Luka menggunakan kritikan penyokong sebagai sumber motivasi bersama skuad TBG. — Facebook/MFL
Namun, pandangan serong diberikan penyokong berjaya dipadam kerana beberapa bulan selepas menyarung jersi Perak FC, Luka mula dijulang dengan sentuhannya semakin membuahkan hasil.
Empat gol dicatatkan dalam Liga Super, termasuk hatrik ketika berdepan Kelantan FC membuktikan pemain tersebut mampu memberi impak, sekali gus menyaksikan pihak pengurusan terus memberikan lebih masa kepadanya.
Tetapi, pada Disember lalu, pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan skuad TBG secara mengejut dengan pemergian tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong yang mula jatuh hati terhadap keazamannya.
3. Jose Embalo (Sabah FC)
Sebelum memiliki lambakan penyerang lokal dan import berkualiti, Sabah FC pernah mengalami dilema di posisi tersebut, lebih-lebih lagi dalam musim pertama kepulangan pasukan itu ke Liga Super kira-kira tiga tahun lalu.
Antara peledak pernah bergelut bersama pasukan Borneo tanah air itu ialah Jose Embalo yang dibawa masuk Datuk Ong Kim Swee dengan harapan kemasukannya dapat membawa ancaman dalam barisan hadapan skuad Sang Badak.
Bagaimanapun, dia yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim 2022 sukar menyesuaikan diri kerana hanya mencatatkan satu gol daripada lapan penampilan.
Satu gol dalam lapan penampilan membuatkan peminat skuad Sang Badak kurang senang dengan kehadiran Embalo. — Facebook/Sabah FC
Pulangan tersebut cukup mengatakan penyerang kebangsaan Guinea-Bissau itu mengecewakan meskipun pada tahun berkenaan, skuad Sang Badak berjaya layak ke pentas Asia selepas menamatkan Liga Super di tangga ketiga.
Namun, peminat Sabah FC masih setia memberi sokongan kepada Embalo kerana masing-masing percaya pemain terbabit mencurahkan kesungguhan dalam pasukan meskipun kerap dikritik di media sosial.
Tidak cukup dengan itu, kesanggupannya hadir ke stadium bersama ahli keluarga menimbulkan perasaan akrab antaranya dengan penyokong meskipun hanya beraksi di sana untuk kira-kira enam bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram