Masalah kewangan makin meruncing, 3 'ubi muda' The Bos Gaurus berpotensi disambar


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Perak mungkin terpaksa melepaskan pemainnya kerana isu kewangan.

MASALAH kewangan yang menghantui Perak FC membuatkan persoalan timbul, mampukah mereka bertahan dan terus bersaing musim depan?

Seandainya terpaksa bertindak drastik dengan melepaskan beberapa pemain untuk mengimbangkan akaun kelab, Perak tidak kekurangan prospek berkualiti yang pastinya menjadi rebutan seteru Liga Super lain.

Jika terpaksa melepaskan, pastinya ada beberapa nama yang boleh dipertimbangkan oleh kelab bagi menguatkan skuad musim depan.

BACA LAGI: Mahu tinggalkan Perak, bek kental TBG ada pilihan pulang ke kampung halaman atau Pantai Timur

BACA LAGI: Dilabel tenang dan bekerja keras, bek muda Perak mula dirisik NSFC-Kedah

Azfar Fikri Azhar

Satu nama yang dilihat mampu menjadi rebutan ramai adalah Azfar Fikri yang bermain sebagai sebagai pemain tengah.

Bintang skuad muda kebangsaan itu merupakan aset utama Perak dengan dia bermain dalam kebanyakkan perlawanan untuk The Bos Gaurus musim ini.

Azfar (kanan) mempunyai potensi besar.

Musim ini, Azfar sudah bermain 26 perlawanan dalam semua pertandingan buat Perak sambil menghasilkan tiga gol dan empat bantuan gol.

Azfar mempunyai versatiliti untuk bermain sebagai pemain tengah dan sayap. Jadi, jika ada kelab yang menyambarnya pasti mampu untuk membuatkan skuad mereka lebih ampuh.

Aiman Yusni

Perlukan pertahanan kanan? Mungkin Aiman Yusni boleh menjadi penyelesaian kepada masalah posisi tersebut jika dia boleh disambar daripada Perak.

Pemain berusia 22 tahun itu menunjukkan potensi tinggi dan mampu menjadi pertahanan kanan berkelas tinggi sekiranya digilap dengan baik.

Aiman (kiri) mampu bermain dengan baik di pertahanan kanan.

Aiman yang sudah pun mewakili negara di peringkat skuad muda melakukan 18 penampilan buat Perak musim ini dengan dia cuma mengutip satu kad kuning saja.

Seperti Azfar, Aiman juga mempunyai kepelbagaian dalam posisinya dengan dia turut kompeten menjadi pertahanan tengah.

Shivan Pillay

Seorang lagi pemain yang boleh membawa diri ke kelab lain jika mahu adalah pemain pertahanan iaitu Shivan Pillay.

Pemain berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu merupakan nadi pertahanan buat Yusri Che Lah musim ini apabila berjuang sebagai pertahanan tengah untuk membantu Perak daripada bolos.

Shivan cemerlang di pertahanan tengah Perak.

Musim ini, Shivan melakukan 20 penampilan liga sambil empat lagi dalam Piala Malaysia dan Piala FA. Ia menjadikan pemain itu merupakan pilihan utama Yusri untuk bertahan.

Kualiti masih ada dan masih ada potensi untuk direalisasikan, jika Perak lepaskan pasti ada kelab sedia untuk mengambilnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram