
AKSI persahabatan istimewa disediakan bagi penyokong bola sepak di Perak kerana mereka berpeluang melepaskan kerinduan terhadap bekas pemain yang pernah beraksi di negeri terbabit.
Menariknya, perlawanan persahabatan itu hadir dengan format berbeza kerana ia merupakan pertembungan tiga penjuru antara Pilihan Ex Player Perak, Pilihan Yus Tapah serta Pilihan MB Kedah.
Dalam perkongsian di laman Facebook Silver Retro, perlawanan di Ayer Kuning, Perak itu akan menampilkan beberapa bekas pemain skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan sebahagian daripadanya boleh dilabel legenda.
BACA LAGI: Khalid Jamlus, Norsham Yon antara 8 legenda sukan dirai Encorp, Majoriti sempena Aidilfitri
BACA LAGI: Bagai kisah tonggak Man United, Khalid Jamlus berkorban posisi penyerang demi rebut slot pemain
Lambakan bekas pemain Perak akan beraksi dalam perlawanan persahabatan tersebut.
Ini termasuk bekas pemenang Anugerah Kasut Emas, Khalid Jamlus dan Indra Putra Mahayuddin yang kedua-dua daripadanya pernah menyarung jersi kelab di Utara tanah air tersebut.
"Kehadiran pilihan Lagenda Bolasepak Perak di Tapah, Perak dijangka menerima kunjungan ribuan peminat setia 'Seladang' yang dijadualkan bertemu pasukan Pilihan MB Kedah dalam satu perlawanan persahabatan pada esok petang (Jumaat).
"Kemunculan sebahagian wira-wira bolasepak Perak yang merangkul Piala Malaysia pada 1998 dan 2000, malah skuad yang sembilan kali mara ke pentas akhir itu mungkin menjadi pelepas rindu peminat setia setelah kali terakhir Perak berjaya ke perlawanan akhir pada 2019," tulisnya.
Berdasarkan poster disertakan dalam hantaran tersebut, pasukan Pilihan MB Kedah itu akan turut menyaksikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang pastinya memeriahkan lagi pertembungan berkenaan.
Baddrol (kiri) akan beraksi buat Pilihan MB Kedah dalam perlawanan tersebut. — Facebook/Arena Hijau Kuning
Meskipun sudah berusia, dia yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah beberapa kali beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan kemunculannya sentiasa menjadi tarikan umum.
Selain itu, pasukan dari Negeri Jelapang Padi bakal menampilkan dua bekas pemain, Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din yang sudah tentu menjadi daya tarikan penyokong.
Bagi pasukan Pilihan Yus Tapah pula, tidak dapat dipastikan pemain manakah yang akan beraksi dengan terdapat kemungkinan bekas penyerang negara, Safee Sali mungkin diturunkan.
Kehadiran nama-nama besar tersebut diharapkan mampu menarik ribuan penonton supaya hadir untuk kembali memeriahkan suasana bola sepak di negeri berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram