
LEGENDA bola sepak kebangsaan, Safee Sali berkemungkinan akan berentap dengan wira sukan negara yang lain di lapangan golf semasa Cabaran Golf Dunia Korporat (WCGC) yang akan diadakan bermula 22 Mei hingga 25 September di lokasi berbeza.
Ia selepas legenda Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC itu disahkan akan bertanding dengan dia diletakkan bersama-sama pasukan WCGC Malaysia.
Pada masa sama, nama-nama legenda lain seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David turut dirisik untuk menyertai kejohanan itu sebagai peserta, namun usaha itu masih berjalan.
BACA LAGI: Anak bergaya bak golfer profesional, koleksi Armani perkenal set pakaian golf kanak-kanak
BACA LAGI: Baru berusia 20 tahun, Jeneath cemerlang pada kejohanan golf 'pentas' serantau
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kiri) melakukan simbolik merasmikan WCGC Malaysia bagi edisi 2025.
Bagi Penasihat WCGC Malaysia, Salim Sain, dia melihat usaha untuk membawa legenda sukan lain ke lapangan golf boleh dijadikan sebagai tarikan utama kejohanan.
"Buat masa sekarang, kami sedang mengenal pasti beberapa legenda sukan dan salah satunya adalah Safee Sali, bekas pemain bola sepak negara yang pernah beraksi di Malaysia dan Indonesia.
"Cadangan itu mendapat perkenan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah."
Safee pernah memenangi kereta mewah selepas melakukan pukulan hole-in-one dalam sebuah kejohanan golf.
Bagaimana pun, Salim mengatakan mereka turut mempertimbang beberapa legenda sukan lain kerana khuatir mungkin legenda seperti Chong Wei dan Nicol tidak bermain golf.
Namun begitu, pihaknya masih belum menentukan berapa ramai legenda sukan yang akan dijemput beraksi di WCGC kelak.
"Kami sebenarnya ada niat untuk membawa skuad yang terdiri daripada para legenda sukan negara seperti Chong Wei dan Nicol, tapi mereka tidak main golf.
"Buat masa sekarang, kami sedang melihat kepada beberapa nama, dan kami sedang mengenal pasti," jelasnya.
WCGC akan diadakan sebanyak empat pusingan di empat lapangan golf berbeza serata Selangor. Lokasi-lokasinya adalah Kelab Golf Seri Selangor (22 Mei), Tropicana Golf Resort (24 Jun), Glenmarie Golf & Country Club (22 Julai) dan Templer Park Country Club (21 Ogos).
Pusingan akhir peringkat kebangsaan pula akan diadakan di Kota Permai Golf & Country Club pada 25 September untuk memilih wakil Malaysia ke WCGC peringkat dunia di Shanghai, China. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram