Harimau Kumbang tenang-tenang, duo peledak Sri Pahang mungkin tak turun aksi akhir Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Aksi terakhir Pahang bertemu Penang FC sedikit suram tanpa kehadiran dua tonggak utama mereka iaitu Sherman dan Hidalgo. — Facebook/SriPahang

SRI Pahang FC pastinya memerlukan kemenangan ke atas Penang FC dalam aksi terakhir Liga Super musim 2024/2025 mereka musim ini di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, Pahang pada Sabtu. 

Hal ini kerana, kejayaan memperoleh tiga mata di gelanggang sendiri itu boleh menjadi tonik tambahan sebagai persediaan mental menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April. 

Bagaimanapun, perlawanan terakhir itu sedikit suram tanpa kehadiran dua tonggak utama mereka iaitu Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo. Perkara itu dilaporkan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam pada laman X.

BACA LAGI:Final Piala Malaysia: Hilang 2 pemain berstatus 'carry' sukarkan misi Tok Gajah 'pijak' Harimau Selatan

BACA LAGI: Sah tak beraksi final Piala Malaysia, fans harap Hidalgo ubati kehilangan Kpah Sherman

Perkongsian dari Zulhelmi itu secara tidak langsung memberitahu musim bagi edisi 2024/2025 untuk kedua-dua pemain di bahagian serangan itu sudah berakhir susulan mereka juga tidak diturunkan pada aksi final Piala Malaysia nanti. 

Sebagai rekod, Sherman yang merupakan kapten Sri Pahang, terpaksa diketepikan daripada penentuan gelaran itu berikutan penggantungan perlawanan manakala Hidalgo pula merupakan pemain pinjaman daripada Harimau Selatan.

Sherman merupakan antara tonggak penting skuad Tok Gajah sejak penyerang dari Liberia itu menyertai Pahang pada musim 2023. Musim ini, Sherman sudah merekodkan 11 gol dan membuat tiga bantuan jaringan dalam semua kejohanan musim ini. 

Manakala, Hidalgo pula tersebut berjaya meneruskan momentum cemerlang dengan import kelahiran Argentina tersebut berjaya merekodkan tujuh gol dan empat bantuan jaringan direkodkan daripada 24 penampilan secara keseluruhan.

Kehilangan dua pemain utama itu dijangka menjejaskan kekuatan pasukan bimbingan Fandi Ahmad ketika menentang Harimau Selatan yang mempunyai reputasi hebat dan konsisten dalam saingan domestik.

Oleh itu, aksi bertemu Harimau Kumbang perlu menjadi 'latihan' sebenar buat skuad Tok Gajah mengukur kualiti mereka tanpa duo serangan itu, selain Fandi juga boleh menjadikannya sebagai bahan eksperimen mencari pengganti sesuai mengisi kekosongan mereka. 

Untuk rekod, Sri Pahang telah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali, dan bakal turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil ini sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara bertahan dari Selatan tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram