Rembatan terkena tiang, kad merah menghiasi pertemuan terakhir JDT-Sri Pahang di pentas final Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Sri Pahang memenangi Piala Malaysia 2014 dengan kemenangan dramatik.

SELEPAS 11 tahun, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC kembali bertemu di pentas akhir Piala Malaysia dengan aksi akan diadakan pada Sabtu.

Kali terakhir mereka bertemu, Sri Pahang muncul juara dengan mereka bangkit dengan bermain 10 pemain untuk menang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan tersebut, nilai dramanya sangat tinggi hinggakan ia dianggap sebagai antara perlawanan akhir Piala Malaysia yang terbaik dalam era moden.

BACA LAGI: JDT ada lebih masa untuk bersedia — Fandi Ahmad

BACA LAGI: Tiada dalam jamuan makan malam, timbul soal 2 bintang JDT tinggalkan pasukan lebih awal

Tok Gajah tempang

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua kelab terikat dengan kedudukan 2-2 selepas 120 minit permainan dengan Sri Pahang terpaksa bermain dengan 10 pemain selama 50 minit.

Ia berlaku selepas pertahanannya, Saiful Nizam Miswan dikenakan kad merah apabila mengasari Amri Yahyah ketika situasi tanpa bola (off ball situation) pada minit ke-70.

Ketika itu, Sri Pahang ketinggalan 1-2 namun berjaya menyamakan semula kedudukan menerusi Dickson Nwakaeme seminit selepas Saiful Nizam dibuang padang.

Mereka berjaya bertahan sepanjang tempoh 30 minit masa tambahan selepas itu sebelum menang penentuan sepakan penalti 5-3.

Nasib terletak pada tiang

Dalam perlawanan tersebut, JDT tampil dengan skuad terkuat dengan meletakkan penyerang handalan seperti Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa dan Norshahrul Idlan Talaha.

Walaupun berjaya mendapatkan dua jaringan menerusi Diaz dan Figueroa, JDT sebenarnya hampa apabila mereka terlepas peluang menggandakan jaringan ketika itu.

Gol Figueroa (kanan) tidak cukup untuk JDT meraih kejuaraan ketika itu.

Semasa perlawanan, JDT memiliki peluang untuk meraih gol ketiga namun percubaan daripada Figueroa terkena tiang selepas melakukan larian solo.

Situasi itu ibarat memberikan petanda ketika itu yang mereka tiada rezeki untuk menjadi juara. Ia kelihatan dekat, tapi sebenarnya jauh.

Motivasi oleh ZAH

Salah seorang individu yang memainkan watak penting dalam kejayaan Sri Pahang ketika itu adalah jurulatih mereka sendiri iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan.

Zainal yang mewarisi skuad itu daripada Datuk Dollah Salleh yang menjadi pengendali skuad kebangsaan pada masa tersebut berjaya memastikan Tok Gajah terus handal bersaing.

Menurut bekas pemain, Faizol Hussien, kata-kata Zainal pada rehat separuh masa semasa perlawanan membuatkan kenapa Sri Pahang berjaya memberikan saingan walaupun berdepan JDT yang dipenuhi pemain bintang.

"Selepas habis separuh masa pertama, Zainal tetap bagi semangat dekat kami dalam bilik persalinan untuk lawan habis-habisan di separuh masa kedua sehingga akhirnya ke penentuan sepakan penalti.

"Sebenarnya pasukan Pahang pada waktu itu memang seperti satu keluarga, sama-sama kerja keras dan Dickson Nwakaeme antara yang banyak menceriakan pasukan kita dengan karakternya," kata Faizol menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram