'Mereka semua hebat,' Fadhli Shas puji rakan sepasukan Sri Pahang, susah senang bersama ke final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Skuad Sri Pahang berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang

PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas amat berbangga dengan rakan-rakan sepasukannya yang berjuang bersamanya ketika susah dan senang.

Kerana semangat juang tinggi dipamerkan mereka, skuad Tok Gajah mendapat ganjaran terbaik apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu.

Memetik laman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), tiada lain selain pujian saja daripada Fadhli buat rakan-rakan sepasukannya.

BACA LAGI: Harimau Kumbang tenang-tenang, duo peledak Sri Pahang mungkin tak turun aksi akhir Liga Super

BACA LAGI: Sri Pahang boleh rencat konsistensi JDT, Rajagobal harap final Piala Malaysia cukup 'thriller'

Fadhli Shas. — MFL

"Mereka rakan pasukan yang sangat hebat, bermotivasi tinggi dan saya kagum melihat semangat rakan-rakan. Semoga kami semua dapat memberikan aksi terbaik," kata Fahdli.

Perlawanan akhir pada Sabtu begitu signifikan buat Fadhli kerana 11 tahun lalu, dia turut beraksi dalam aksi serupa melibatkan kedua-dua kelab tetapi bersama JDT.

Pada 2014, dia yang bergandingan dengan Marcos Antonio berasa perit apabila kalah 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir 2-2.

Namun begitu, Fadhli berjaya menikmati kejuaraan Piala Malaysia apabila berjaya mendapatkan gelaran itu pada 2017 apabila dia membantu JDT menewaskan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan akhir.

"Detik paling manis final Piala Malaysia saya bersama JDT adalah pada tahun 2017 apabila JDT menang ke atas Kedah dengan 2-0 dan kami dapat memastikan trofi itu kembali menuju ke selatan tanah air selepas Johor muncul juara pada 1985 dan 1991.

"Perasaan teruja dapat kembali beraksi di pentas Final sudah pasti ada, namun semestinya sedikit berbeza kerana Final kali ini saya bersama Sri Pahang dan kita semua sedia maklum dengan kehebatan pasukan JDT," ujarnya.

Pertahanan berusia 31 tahun itu mengakui tugas untuk mengalahkan JDT bukannya mudah. Namun, dia berharap Sri Pahang akan berikan yang terbaik untuk tidak menghampakan penyokong Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram