Fazrul Amir akhirnya dipanggil, status kelab 'underrated' halang 3 pemain sarung jersi HM


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Fazrul Amir dipanggil bagi menggantikan Mukhairi Ajmal yang terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan. — Facebook/FAM

USAHA keras pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Fazrul Amir Md. Zaman akhirnya berbaloi apabila bakatnya dipandang oleh jurulatih interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.

Menerusi perkembangan yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain sayap berkenaan dipanggil untuk menyertai kem Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu Laos dan India.

Fazrul Amir sebelum ini diletakkan dalam senarai pemain bersedia skuad kebangsaan dan namanya dipanggil bagi menggantikan Mukhairi Ajmal yang terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.

BACA LAGI: 'Midfield' tempang tanpa Natxo Insa-Mukhairi, Pau Marti taruh harapan tinggi kepada duo berbisa

BACA LAGI: FAM sahkan Harimau Malaya jumpa Laos, India November ini

Selain pemain berusia 24 tahun itu, Pau Marti turut memanggil tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC iaitu Zhafri Yahya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan jeneral Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa yang disisihkan kerana faktor sama seperti Mukhairi.

Untuk rekod, Fazrul Amir merupakan pemain pertama dari pasukan yang berpangkalan di Kelantan berhasil menyertai skuad kebangsaan sejak 2018 iaitu selepas Shafiq Shaharudin menyarung jersi Harimau Malaya.

FAZRUL AMIRRR

Fazrul Amir ketika latihan Harimau Malaya pada Isnin. — Facebook/FAM

Keputusan Pau Marti memanggil Fazrul Amir ke skuad Harimau Malaya disambut baik penyokong susulan pemain muda itu mempunyai kepantasan dan skil kawalan bola yang berkualiti sebagai penyerang sayap.

Melihat rezeki Fazrul Amir yang akhirnya mendapat peluang mewakili skuad kebangsaan itu, ada penyokong juga berharap agar beberapa pemain dari kelab underrated memperoleh peluang sama.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain dari kelab underrated yang sesuai dipanggil Harimau Malaya selepas ini;

1) Shahrel Fikri

WhatsApp Image 2024-11-11 at 20.40.06 (1)

Shahrel merupakan menyerang tempatan yang menyinar bersama PDRM FC. — Facebook/PDRMFC

Kali terakhir penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri mendapat panggilan kem skuad kebangsaan adalah pada Jun 2023 iaitu ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon dan pemain itu bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).

Sejak itu, pemain berusia 30 tahun itu belum berkesempatan untuk mendapat panggilan dari Kelana Jaya meskipun menampilkan aksi konsisten bersama pasukan semasanya iaitu skuad Sang Saka Biru.

Musim ini, penyerang tinggi lampai berkenaan diberi peluang beraksi dalam 12 perlawanan Liga Super dan berhasil mencetak dua jaringan gol untuk pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.

Walaupun Shahrel beraksi dengan konsisten bersama PDRM FC, kelab itu yang hanya memegang status 'underdog' sukar menerima tumpuan meskipun beberapa keputusan memberangsangkan sudah direkodkan.

2) Jimmy Raymond

JIMMY

Jimmy merupakan watak utama The Cats pada musim ini. — Facebook/KuchingCity

Pertahanan kanan Kuching City FC, Jimmy Raymond antara pemain tempatan yang kini sedang menunjukkan perkembangan sangat positif buat pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu dalam pentas domestik.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak dilihat bijak menggunakan bakat pemain berusia 28 tahun itu sehingga dia berhasil mengetepikan tonggak lain dan kini sudah tampil dalam kesemua perlawanan Liga Super buat The Cats.

Tonggak lincah seperti Jimmy berkeupayaan untuk membantu serangan serta pertahanan pasukan selain menutup setiap peluang cuba dijelmakan oleh pemain serangan dari sebelah kanan.

Menjadi persoalan, adakah status kelab kerdil Kuching City menghalang Jimmy untuk mendapat kesempatan menyarung jersi skuad kebangsaan meskipun telah menjadi tulang belakang The Cats pada musim ini.

3) R. Barathkumar

WhatsApp Image 2024-11-11 at 20.40.06

Barathkumar mula menyarung jersi NSFC pada 2023. — Facebook/NSFC

Musim 2022 boleh diletakkan sebagai tahun cemerlang buat Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila berhasil menghuni tangga keempat dan dua pemainnya iaitu Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi menjadi tonggak utama skuad kebangsaan.

Namun, prestasi merudum skuad Jang Hobin pada tahun lepas dan tahun ini seolah-olah menutup ruang pemain berkualitinya mendapatkan tempat dalam senarai panggilan pemain kebangsaan.

Antara pemain NSFC yang menyinar pada musim ini ialah R. Barathkumar. Pemain tengah menyerang itu musim ini boleh dikatakan antara watak utama skuad Jang dalam mengharung 10 perlawanan Liga Super.

Barathkumar yang mampu beraksi di bahagian tengah bertahan itu bukan hanya menjalankan tugas dengan baik sebagai perancang tengah agresif tetapi juga menyumbang dua jaringan gol buat Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram