
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
MUNGKIN ia hanya seketika tapi Sri Pahang FC merasa juga berada dalam kelompok enam teratas. Menduduki tangga kelapan kesudahannya dengan himpunan 29 mata selepas berlabuhnya tirai Liga Malaysia musim 2024/2025 pada Ahad, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, harus menyambutnya dengan lega.
Hanya 24 jam sebelum itu, kemenangan dramatik 3-2 Tok Gajah ke atas Penang FC di Stadium Temerloh, melonjakkan mereka ke tangga keenam – cuma satu takuk di bawah tangga kelima yang diraih pada hujung musim 2023 – tapi Fandi pun akur ia mungkin tidak mampu bertahan lama.
Dua pasukan di bawah pasukannya – Kuala Lumpur FC dan Perak FC – hanya beraksi pada Ahad – dengan jika salah satunya tewas, maka Sri Pahang FC akan berkesudahan sekurang-kurangnya di tangga ketujuh.
BACA LAGI: Perak FC tidak mengecewakan jika diambil kira segala kepayahan
BACA LAGI: Seorang pemaaf, seorang lagi dirundung kecewa — begitulah resmi bola sepak
Ketentuannya KLFC menang 5-2 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Cheras sambil Perak FC melakar kejutan dengan mengalahkan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk masing-masing menamatkan musim di tangga keenam dan ketujuh untuk menolak turun Sri Pahang FC ke tangga kelapan – berbanding di tangga ke-10 atau 11 buat sebahagian besar musim.
Diletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan tangga kelima pada hujung musim 2023, Sri Pahang bagaimanapun dibelenggu masalah dalamannya sendiri – terutama tunggakan gaji yang menjejaskan motivasi.
Kehilangan tonggak tengah dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev, pada pertengahan Julai lalu kerana memilih untuk menyertai kelab Neftchi Fergana di negara asalnya, Sri Pahang FC tidak dapat membuat penggantian ketika jendela perpindahan kedua kerana dikenakan larangan menandatangani pemain baharu.
Ini meninggalkan Fandi dengan pilihan hanya lima import - Kpah Sherman (Liberia), Stefano Brundo (Argentina), Aleksandar Cvetkovic (Serbia), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Mykola Ahapov (Ukraine) – dengan jurulatih itu lebih kerap didengar merungut mengenai itu dan ini selepas hampir setiap perlawanan.
Dari Disember lalu lagi, jurulatih berusia 62 tahun itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan prestasi anak buahnya yang dilihat tidak cukup berdisiplin di atas padang. Mudahnya mereka hilang penumpuan terhadap perlawanan turut dirumuskannya sebagai punca pasukan tercicir banyak peluang jaringan yang sepatutnya diraih.
Menyertai Pahang pada awal musim 2024/25, Ahapov sudah tampil dalam 29 perlawanan. — Facebook/SriPahang
Ini disusuli komen kerasnya pada penghujung Januari. Tanpa berselindung jurulatih itu menegur anak buahnya yang tidak bertindak sebagai pemain profesional apabila tidak mengikut arahan yang sudah ditetapkan kepada mereka.
"Kami tidak bermain bola sepak (tapi) kami bermain ragbi. Kami tidak dapat bermain bola sepak kami kerana (keadaan) padang. Kami terpaksa bermain bola tinggi tapi ada pemain yang tak dengar cakap.
"Saya beritahu mereka untuk pakai kasut dengan enam stud daripada besi tapi ada yang menggunakan stud getah. Ada yang cuba mengelirukan jurulatih dengan menggunakan stud besi ketika sesi memanaskan badan tapi kemudian menukar kepada stud getah sebelum sepak mula perlawanan. Mereka sepatutnya lebih profesional,” katanya selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur FC di Temerloh pada 26 Januari.
Bayangkanlah pada satu ketika Sri Pahang FC mengharungi ‘kemarau’ kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut yang hanya ternoktah apabila menundukkan PDRM FC 3-1 di Stadium Selayang pada 8 Mac.
Selepas kemenangan terakhir 1-0 ke atas Perak FC di Ipoh (13 Dis), Sri Pahang FC tewas 1-3 kepada JDT (17 Dis), tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (10 Jan), seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (26 Jan), tewas 0-2 kepada Selangor FC (8 Feb), seri 2-2 dengan Sabah FC (16 Feb), tewas 1-5 kepada Terengganu FC (27 Feb), dan tewas 0-2 kepada Kuching City FC (4 Mac).
Tok Gajah menghabiskan Liga Super di kedudukan kelapan liga.
Selepas kekalahan terakhir kepada skuad The Cats itu, Fandi mengakui terdapat perbezaan sikap pemain dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia dengan kurangnya tumpuan, kehilangan disiplin, formasi tak menentu dan intensiti menurun selepas separuh masa pertama sebagai masalah utama.
"Perbezaan prestasi kita antara perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super sangat jelas. Dalam Piala Malaysia, kita bermain dengan motivasi, disiplin dan kerja berpasukan, tetapi dalam liga, kelebihan itu nampaknya hilang. Itulah sebabnya keputusan kami mengecewakan dan kami bergelut untuk mengutip mata,” katanya ketika itu.
Kejayaan menundukkan PDRM FC pada 8 Mac itu bagaimanapun menyuntik kembali keyakinan yang telah lama lekang daripada pasukan.
Titik peralihan sebenar Sri Pahang FC daripada perlawanan itu menyaksikan mereka mencatat empat kemenangan berturut-turut apabila seterusnya menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 (8 Apr), Perak FC 1-0 (12 Apr) dan Penang FC 3-2 (19 Apr).
Fandi kini fokus kepada final Piala Malaysia pada Sabtu ini. — Facebook/SriPahang
“Alhamdulillah dari awal musim kita agak kekurangan rentak dengan permainan kita. Kita agak tidak bersatu tapi setelah kita bermain peringkat kalah mati Piala Malaysia waktu itu semangat kita kembali dan pemain kita bersatu dalam perjuangan.
“Mereka tahu seperti yang kita selalu sarankan kita harus main untuk TEAM -- together everyone achieves more (berrsama-sama setiap seorang mencapai lebih lagi). Ssekarang saya nampak kerjasama sepasukan sangat baik.
“Walaupun Penang dapat menyamakan kedudukan, kita tetap tak putus asa, itu sangat penting bagi saya. Saya selalu bicara dengan pemain-pemain pentingnya mereka teruskan perjuangan di lapangan. Biar satu dua gol di belakang kita harus kerja keras,” katanya selepas perlawanan terakhir liga itu.
Kini, tumpuan Fandi dan pemain-pemainnya kecuali Sherman dan Hidalgo yang tidak dapat beraksi ialah final Piala Malaysia berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.
“Kita ingin penyokong kita menempuh masuk ke Bukit Jalil untuk bantu sorakan untuk kita. Mudah-mudahan mereka datang beramai-ramai, insya-ALLAH kita akan beri yang terbaik, mudah-mudahan ada satu kejutan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram