
JAWATANKUASA First Instance Body (FIB) mengumumkan sebanyak empat pasukan Liga Super yang lulus mendapatkan Lesen Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi kitaran 2024-2025 hasil mesyuarat ke-10 yang berlangsung di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, empat daripada enam kelab yang diluluskan permohonan ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
Manakala, dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu juga memberitahu bahawa Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC tidak berjaya mendapatkan lesen AFC.
BACA LAGI: Pernah dikaitkan ke Utara tanah air, bek muda Terengganu dalam radar kelab negara jiran
BACA LAGI: Khidmat mungkin tak diperlukan JDT, Terengganu sedia sambar Syafiq Ahmad berbanding Selangor
"Pihak FIB mengucapkan tahniah kepada semua kelab yang telah berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab AFC kitaran 2024-2025 dan mengucapkan penghargaan atas komitmen daripada kelab Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC atas kesungguhan untuk melengkapkan Lesen AFC.
"Pihak FIB berharap akan ada penambahan kelab-kelab yang lain dalam kitaran seterusnya bagi permohonan Lesen AFC untuk terus mengekalkan taraf kompetitif Liga Super Malaysia," katanya memetik kenyataan MFL pada Selasa.
Kegagalan Kedah mendapatkan lesen AFC sudah diramal penyokong susulan tiada sebarang petanda masalah gaji mereka akan selesai namun nama Terengganu yang juga mengalami nasib sama itu menimbulkan persoalan penyokong.
Hal ini kerana, Terengganu musim ini bersih daripada dakwaan mengenai masalah tunggakan gaji melibatkan pemain mahupun kakitangan. Adakah terdapat kriteria lain yang Terengganu gagal penuhi?
"Terengganu ada masalah gaji juga ke sebenarnya? Tiba-tiba pasukan seperti Terengganu jadi tak kuat macam musim sebelum ini," kata penyokong liga domestik, Adam Nazar Channel.
"Kedah memang logik kalau tak lepas tapi Terengganu ini kenapa?," tanya penyokong bola sepak tempatan, Waq Lyn.
Untuk mendapatkan Lesen AFC, setiap kelab yang memohon perlu mematuhi enam aspek utama iaitu Sporting, Infrastruktur, Personal & Pentadbiran, Undang-undang, Kewangan dan Perniagaan yang dinyatakan dalam MFL Club Licensing Regulations Edition 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram