
JENDELA perpindahan kali ini menyaksikan khabar angin mengatakan pemain tempatan akan cuba ke luar negara mula kedengaran dengan ia menjadi petanda liga sekitar sudah mula membuka mata akan bakat tanah air.
Ini termasuk ura-ura mengatakan kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue sedang dirisik kelab Vietnam selepas masa depan kelab Lembah Klang itu belum diputuskan selepas bergelut dengan isu pengurusan.
Khabar angin itu tidak terhenti di situ kerana pada Selasa, pemerhati sukan tempatan, T Avineshwaran menyatakan bek tengah Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili berada dalam radar kelab Thailand.
BACA LAGI: 'Mereka lebih menonjol', Ubaidullah akui duo muda KL City-Selangor lebih layak raih gelaran ABK
BACA LAGI: Sebelum Hidalgo, Ubaidullah dan Luciano mangsa layangan kad merah tak munasabah Liga M musim ini
Ubaidullah merupakan salah seorang pemain pertahanan muda terbaik dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun tidak dinyatakan pasukan manakah yang dimaksudkan, ini menimbulkan kehangatan dalam kalangan penyokong kerana bakat pemain pertahanan tersebut sudah disedari ramai meskipun baru sahaja menembusi skuad utama musim ini.
"Difahamkan bahawa pertahanan Terengganu, Ubaidullah sedang dipantau beberapa kelab Thailand yang berhasrat untuk mendapatkannya secara pinjaman. Untuk makluman, pemain berusia 21 tahun itu berdarah campuran Thai melalui ibunya. Dia juga boleh bertutur dalam bahasa tersebut," tulis Avineshwaran.
Sekiranya mampu berbuat demikian, bek tengah berkenaan akan mengikuti langkah beberapa pemain tempatan yang pernah cuba ke negara jiran itu seperti Safawi Rasid dan Dominic Tan.
Malah, perpindahan tersebut bakal menyaksikan Ubaidullah menggilap bakat di Thailand bersama beberapa 'ubi muda' negara, termasuk Muhammad Abu Khalil serta Fergus Tierney yang kini beraksi buat Nakhon Pathom United.
Skuad Harimau Kumbang pernah disebut-sebut sebagai destinasi baharu Ubaidullah. — Facebook/Penang FC
Bagaimanapun, beberapa kelab tempatan pula akan kecewa sekiranya pemain tersebut memilih untuk berkelana ke sana kerana ada yang pernah dikaitkan dengan pertahanan Harimau Muda terbabit.
Ini termasuk Penang FC yang pernah dikaitkan dengan Ubaidullah sebelum ini kerana kerapuhan benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang boleh diperbaiki jika perpindahan tersebut dapat dimeterai.
Gandingannya bersama Rafael Vitor akan menyaksikan jumlah gol dibolosi kelab Utara tanah air itu dapat dikurangkan dengan 38 gol dilepaskan daripada 22 perlawanan dengan ia merupakan statistik membimbangkan.
Namun, Ubaidullah memilih untuk kekal di Pantai Timur dengan keputusan tersebut menyaksikannya semakin matang di atas padang meskipun gagal membawa kelainan dalam musim suram skuad Sang Penyu.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.82 meter itu diturunkan sebanyak 35 kali musim ini dengan dua gol direkodkan dalam saingan Liga Super, iaitu ketika bertemu Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram