
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan dominasi dalam saingan Liga Super apabila mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Perlawanan kedua terakhir Harimau Selatan itu menyaksikan bakal penyerang naturalisasi Harimau Malaya iaitu Bergson da Silva, muncul sebagai wira dengan meledak lima jaringan gol.
Turun sebagai juara bertahan Liga Super, skuad kendalian Hector Bidoglio terus menunjukkan kelas tersendiri biarpun hanya melengkapkan jadual musim ini. KDN pula gagal memberi tentangan apabila tampil dengan formasi bertahan 5-4-1, diketuai pemain sayap iaitu Fazrul Amir.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiada import bukan alasan, kudrat lokal jadi taruhan Kelantan hadapi JDT
BACA LAGI: 'Lawan tenat' bukan ukuran Tok Gajah bersedia jumpa JDT di final Piala Malaysia
Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 menerusi sentuhan mudah Bergson hasil hantaran Park Jun-heong. Bergson menambah jaringan kedua 13 minit kemudian, kali ini melalui tandukan hasil sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.
Lima minit kemudian, penyerang kelahiran Brazil itu melengkapkan hatrik dengan satu rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol lawan, Fikri Che Soh.
Pemain kelahiran Brazil berkenaan sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring di minit ke-27, menjadikan kedudukan 4-0 dan turut memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam satu musim.
Gol kelima hadir pada minit ke-36 menerusi situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti kelab Pantai Timur berkenaan yang memberikan juara bertahan Liga Super itu kelebihan selesa 5-0 sebelum rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Bidoglio melakukan dua pertukaran, memasukkan Shahrul Saad dan Afiq Fazail, manakala Kelantan menukar penjaga gol dalam usaha mengekang serangan tuan rumah.
Namun, rentak Harimau Selatan terus bertenaga apabila Romel Morales menyumbat dua gol berturut-turut pada minit ke-56 dan 58, masing-masing hasil hantaran Bergson dan Jesse Rodriguez.
Manakala, Shahrul Saad dan legenda Harimau Selatan iaitu Safiq Rahim menambah dua lagi gol pada penghujung permainan untuk melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 9-0, sekaligus mengukuhkan kedudukan JDT di tangga teratas dan meneruskan rekod tanpa kalah musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram