
PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Ebenezer Assifuah dilaporkan sudah meninggalkan kelab itu dan pulang semula ke Ghana sebelum Sang Kenari bertemu Terengganu FC pada Ahad.
Ia sekali gus menamatkan jodoh pemain itu bersama-sama Sang Kenari dengan Assifuah dijangka mencari kelab baharu untuk musim depan. Untuk pemain berbakat sepertinya, pasti akan ada kelab sudah menanti mahukan khidmatnya.
Jika rezekinya masih ada di Malaysia, mungkin Assifuah boleh ke tiga kelab untuk membantu menggantikan penyerang import sedia ada.
BACA LAGI: 'Selamat tinggal, Kedah'
BACA LAGI: 'Macam ada yang hilang', kelibat Rizal Ghazali-Assifuah tak kelihatan di bumi Kenyalang
Terengganu FC
Salah satu kelab yang mengalami masalah dengan penyerang import musim ini adalah Terengganu FC. Musim ini, mereka kehilangan Ivan Mamut sepanjang musim akibat kecederaan serius.
Mamut yang menjalani rawatan di luar negara kemudiannya pulang ke Terengganu pada separuh kedua liga namun dia tidak melakukan sebarang penampilan untuk kelabnya.
Ivan Mamut (tengah) tidak bermain untuk Terengganu musim ini akibat kecederaan.
Masa depannya kini tergantung dengan berkemungkinan Mamut akan kembali ke Terengganu. Mungkin juga, dia tidak akan kembali lagi dan menyertai kelab lain musim hadapan.
Jika itu berlaku, Terengganu boleh bergerak dan cuba dapatkan Assifuah. Jika kena caranya, Terengganu berjaya mendapatkan seorang penyerang berkualiti untuk digandingkan dengan Ismaheel Akinade.
Selangor FC
Assifuah juga boleh menjadikan Selangor FC sebagai destinasi untuk meneruskan kariernya di Malaysia dengan dia berpeluang menggantikan seorang penyerang yang cukup 'popular' dalam kalangan penyokong Gergasi Merah.
Nama penyerang itu adalah Ronnie Fernandez. Sepanjang musim, Fernandez menjadi bahan kritikan penyokong Selangor kerana dia tidak beraksi seperti yang diharapkan.
Ronnie Fernandez tidak begitu popular di Selangor.
Fernandez nyata tidak berjaya untuk mengulangi prestasi Ayron del Valle yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super selain daripada gagal membantu Selangor mara jauh di Asia.
Pilihan di tangan Selangor untuk mendapatkan Assifuah atau cuba mencari penyerang lain pada musim hadapan.
Penang FC
Tindakan ini mungkin akan menimbulkan kontroversi namun begitu, Penang FC juga boleh dilihat menjadi destinasi bagi Assifuah beraksi musim depan.
Assifuah berpeluang untuk menggantikan penyerang sedia ada, Rodrigo Dias yang sama seperti Fernandez, sering menjadi cemuhan akibat prestasi di padang.
Rodrigo Dias (depan) kurang memberikan impak buat Penang.
Dias tidak begitu menyerlah impaknya seperti yang diberikan oleh Dylan Wenzel-Halls yang menyertai Penang lebih lewat. Jika Wenzel-Halls dan Assifuah bergabung, pastinya ia akan lebih meletup!
Namun Assifuah pastinya berdepan dilema, jika dia menyertai musuh tradisi Kedah pasti dia akan menerima kritikan pedas kepak Kenari atas tindakan dia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram