
KEDAH Darul Aman (KDA) FC nampaknya perlu meneruskan perlawanan terakhir Liga Super musim 2024/2025 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad tanpa penyerang import, Ebenezer Assifuah.
Difahamkan, penyerang kelahiran Ghana berkenaan meninggalkan pasukan lebih awal dengan perlawanan seri 1-1 bertemu Sabah FC pada Sabtu lepas merupakan aksi terakhirnya musim ini bersama Sang Kenari.
Perkembangan mengenai penyerang import yang turut beraksi untuk skuad KDA FC B tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi dalam satu ciapan di laman X pada Sabtu.
BACA LAGI: Satu tajaan saja tak cukup, Kedah perlukan inisiatif tambahan
BACA LAGI: Tak bertanding Piala Presiden, Kedah, Pahang, Perak, KDN hint tarik diri Liga Super 2025
Untuk rekod, penyerang berusia 31 tahun berkenaan merekodkan satu jaringan dalam 19 penampilan Liga Super bersama Kedah musim ini. Selain, Assifuah juga diberikan peluang untuk beraksi dalam dua aksi Piala Malaysia dan lima perlawanan Piala FA 2025.
Gol tunggal pemain berketinggian 1.76 meter itu ketika aksi menentang Penang FC yang lalu turut membantu Hijau Kuning melakar kemenangan tipis 1-0 sekaligus memberikan tiga mata penting buat pasukannya.
Ketajaman Ebenezer Assifuah terserlah ketika meledak hatrik dalam aksi pusingan 16 Piala FA lalu menentang Bukit Tambun FC namun perjalanan Kedah terhenti di peringkat separuh akhir setelah disingkirkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).
Penyerang yang pernah bermain untuk skuad kebangsaan Ghana itu sebernarnya cemerlang bersama skuad Kedah B hingga pernah bergelar penjaring terbanyak Piala MFL edisi sulung dengan 16 jaringan gol.
Difahamkan penyerang import Kedah DA, Ebenezer Assifuah sudah pulang ke Ghana sekaligus menjadikan aksi bertemu Sabah di Alor Setar Sabtu lalu sebagai penampilan terakhirnya bersama Sang Kenari @ASTROARENA pic.twitter.com/vIv0Eipm6l
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) April 19, 2025
Disebabkan prestasi tersebut, Assifuah mendapat peluang untuk dinaikkan pangkat ke skuad utama dengan dia direkrut ke pasukan senior untuk beraksi sebagai pemain sokongan kepada penyerang utama kelab itu Syafiq Ahmad dan penyerang import dari Serbia, Milos Gordic.
Dengan Assifuah meninggalkan Kedah lebih awal walaupun masih berbaki satu perlawanan dalam kancah Liga Super, adakah ia menjadi petanda awal bahawa pemain berkenaan tidak menyambung kontrak bersama Sang Kenari?
Bagaimanapun, kontrak Assifuah yang berakhir pada Mei ini juga berkemungkinan tidak disambung oleh KDA FC susulan pasukan Utara tanah air itu sedang bergelut dengan dana kewangan mereka.
KDA FC perlu menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM7 juta jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan dengan pengurusan Sang Kenari diberi tempoh sehingga 30 April ini oleh pengendali liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram