Rawilson-Dinesh 'spoil' aksi akhir Sabah, isu luar padang tak halang Perak tutup musim dengan kemenangan


  • Podium
  • Ahad, 20 Apr 2025

Rawilson secara tidak sengaja melorong bola ke gawang sendiri pada separuh masa pertama. — Facebook/SabahFC

MASALAH luar padang yang menimpa Perak FC tidak menjadi halangan untuk mereka menghidang aksi penuh bersemangat dalam perlawanan akhir Liga Super apabila merekodkan kemenangan 1-0 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota, Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Tujuh minit pertama menunjukkan pasukan pelawat lebih aktif menyerang ke kubu serangan Sabah FC dengan trio hadapan mereka cuba melakukan gerakan berbahaya.

Kesilapan kapten pasukan The Rhinos, Rawilson Batuil secara tidak sengaja melorong bola ke gawang sendiri selepas cuba menghalang percubaan dari pemain Perak FC iaitu Farris Izdiham pada minit ke-29 permainan.

BACA LAGI: Di saat ramai pilih keluar, 3 bintang mungkin kekal setia bersama Sabah FC

BACA LAGI: Sang Kenari masih mampu hentikan mimpi ngeri di sebalik misi getir Sabah FC

 

Kesungguhan pemain Perak itu tidak mencerminkan masalah luar padang mereka apabila mereka difahamkan mengalami tunggakan gaji yang serius dengan beberapa pemain seperti Wan Zack Haikal juga memberi bayangan mengenai masalah berkenaan.

Berbaki tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat, R.Dinesh dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan iaitu Muhammad Khairulsyahmi selepas kaki pemain Sabah itu terkena muka pemain skuad The Bos Gaurus (TBG), Daniel Hakimi.

Kesilapan dua pemain itu jelas menaikkan amarah penyokong Sabah dengan rata-rata mereka musim 2024/2025 tidak diakhiri dengan penutup yang indah lagi-lagi perlawanan diadakan di gelanggang sendiri.

“Dinesh nampak sudah main mengarut semasa awal-awal itu. Memang patut dapat kad merah. Aksi malam ini, bayangan Sabah musim depan,” kata penyokong The Rhinos, Akhi Anas.

“Kenapa Rawilson boleh buat silap begitu pada aksi terakhir. Jadi, tidak seronok bila penutup kita begini walaupun dapat nombor tiga sudah,” komen pengikut  Sang Badak, Sufian Amin.

Pada babak kedua perlawanan menyaksikan Martin Stano selaku ketua jurulatih membuat banyak pertukaran dengan memberi peluang kepada pemain muda Sabah untuk mendapatkan minit permainan.

Bagaimanapun, percaturan tersebut tidak membuahkan hasil apabila Sang Badak gagal mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan berkenaan menyaksikan Sabah dan pasukan bimbingan Yusri Che Lah masing-masing menamatkan musim di tempat ketiga dan ketujuh dengan 40 dan 30 mata. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram