PEMERGIAN Datuk Ong Kim Swee dari Sabah FC sudah pasti meninggalkan kesan hebat terhadap kelab Borneo tanah air itu yang sememangnya merasai sentuhannya sepanjang tiga tahun di pasukan berkenaan.
Dia yang menyertai skuad Sang Badak pada 2022 tidak menunggu lama untuk memberi impak kerana pada musim pertamanya, mereka layak ke pentas Asia buat pertama kali sejak 1995.
Pada musim kedua pula, bekas pengendali Harimau Muda itu menjadikan Sabah FC semakin konsisten di peringkat domestik serta sepanjang kempen Piala AFC dengan rentetan keputusan positif direkodkan.
BACA LAGI: Syafiq Ahmad terlepas aksi bertemu Sabah?
BACA LAGI: Elak Kedah jadi kelab utara ketiga dimalukan Sabah, 3 prinsip Sang Badak perlu diperhatikan
Keputusan Kim Swee melepaskan jawatannya menimbulkan kejutan ramai. — Facebook/Sabah FC
Kejayaan itu dikecapi melihat kepada pengalamannya dalam bidang kejurulatihan selain kebolehannya menarik bekas anak buah untuk menyertai skuad Sang Badak yang sudah bertahun-tahun 'tenggelam' dalam arus bola sepak tempatan.
Lebih membanggakan lagi, pencapaian berkenaan direkodkan ketika status kewangan pasukan berada dalam keadaan terumbang-ambing dengan laporan menyebut terdapat tunggakan gaji berbulan-bulan lamanya.
Isu tersebut juga dikatakan sebagai antara faktor pengendali berusia 53 tahun itu meninggalkan skuad Sang Badak, namun dia tidak mengesahkan perkara berkenaan secara terbuka.
Pandangan itu timbul selepas beberapa pemain meninggalkan mesej menyentuh hati terdapat Kim Swee, termasuk bek tengah pasukan, Dominic Tan yang juga sempat mengucapkan salam maju jaya buatnya.
"Saya tidak akan berada di tempat saya ada sekarang jika tidak kerana anda, terima kasih atas segalanya 'coach'. Anda layak dilayani lebih baik. Semoga maju jaya!" katanya.
Dominic Tan sempat memberikan mesej penghargaan buat Kim Swee.
Sebelum bekerjasama di Sabah FC, Dominic Tan dan Kim Swee pernah bergandingan ketika jurulatih berkenaan mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Tunjuk ajar diterima bek kelahiran Johor itu menyaksikan kariernya kian berkembang memandangkan dia pernah berkelana ke Thailand untuk beraksi buat Police Tero FC menyertai skuad Sang Badak.
Meskipun pernah berkali-kali melakukan kesilapan berprofil tinggi, pemain berusia 27 tahun terbabit masih menjadi watak utama buat Kim Swee sepanjang tiga tahun di Sabah FC.
Jurulatih berkenaan difahamkan akan menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat berdasarkan khabar angin di media sosial dengan jawatan ditawarkan kepadanya masih belum dipastikan.
Selain itu, terdapat ura-ura mengatakan Kim Swee akan berkelana ke Indonesia untuk mengendalikan Persis Solo, namun hal itu juga masih belum disahkan mana-mana pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram