
BERBAKI satu lagi perlawanan, Sabah FC secara rasminya menghuni kedudukan ketiga Liga Super musim 2024/2025 selepas berhasil merekodkan 40 mata secara keseluruhan daripada 23 perlawanan yang diharungi.
Skuad The Rhinos boleh menutup musim ini dengan 43 mata dan 12 kemenangan sekiranya Sabah memperoleh kemenangan ke atas Perak FC dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Sejak musim 2022, Sang Badak konsisten menghuni tempat ketiga Liga Super dan menariknya kebanyakan pemain juga merupakan rekrut sama sejak tiga tahun lepas dengan ia dianggap merupakan kunci kepada keserasian Sabah.
BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani
BACA LAGI: Sang Kenari masih mampu hentikan mimpi ngeri di sebalik misi getir Sabah FC
Namun, adat bola sepak pastinya akan menyaksikan tidak selama-lamanya pemain akan kekal berada di kelab sama dengan khabar angin menyatakan kebanyakan tonggak Sabah bakal mengucapkan selamat tinggal.
Desas-desus paling rancak dibualkan ialah penyerang sayap Indonesia, Saddil Ramdani dikhabarkan akan meninggalkan Sabah selepas empat musim bersama. Ia selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Marzuki Nasir memberi bayangan awal tentang masa depannya.
Selain Saddil, nama pemain utama seperti Stuart Wilkin dan Daniel Ting juga antara dikaitkan bakal meninggalkan Sabah dan berkemungkinan akan kembali ke kelab majikannya, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ketika zaman skuad emas dikhabarkan akan meninggalkan The Rhinos, masih ada pemain diramal akan setia menyarung jersi Sang Badak. Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain utama akan kekal bersama Sabah.
1) Darren Lok
Darren menjadi penyerang utama Sabah sejak musim 2022. — Facebook/SabahFC
Penyerang kebangsaan, Darren Lok telah menyertai Sabah FC pada 2023 dengan perpindahan itu merupakan sebahagian daripada usaha Sabah FC untuk memperkuat barisan serangan mereka dalam saingan Liga Super.
Sejak menyertai pasukan itu di bawah rejim Datuk Ong Kim Swee, Darren telah menunjukkan prestasi yang konsisten dan mengagumkan.
Dia sering menjadi pilihan utama dalam kesebelasan utama, membuktikan keupayaannya sebagai penyerang yang berpengaruh.
Berdasarkan statistik permainannya sejak 2023, pemain berusia 34 tahun itu sudah meledak 18 jaringan gol dan lapan bantuan jaringan.
Enam gol daripada jumlah itu diperoleh ketika Sabah beraksi untuk kejohanan Piala AFC.
Kerjasama antara Darren dengan pemain tengah dan sayap seperti Saddil meningkatkan kreativiti serangan pasukan.
Gandingan mantap itu menjadikan Sabah sebagai salah satu pasukan yang digeruni dalam liga.
Walaupun usianya semakin lanjut, pemain warisan England-Malaysia itu masih boleh menawarkan pengalaman serta kualiti ke dalam pasukan, secara tidak langsung terus menjadi tonggak utama dalam perancangan kelab.
2) Dominic Tan
Dominic diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten pada musim ini. — Facebook/SabahFC
Bek tengah Sabah FC, Dominic Tan membawa bersama pengalaman dan ketenangan sebagai seorang pertahanan yang berkaliber sejak pemain berusia 28 tahun tersebut menyertai The Rhinos pada musim 2022.
Sebagai pemain yang pernah beraksi di luar negara bersama Vilaverdense (Portugal) dan Police Tero FC (Thailand), Dominic membawa gaya permainan matang serta berdisiplin ke dalam pasukan berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.
Sejak bersama Sabah FC, Dominic telah menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan dengan dia kerap diturunkan dalam kesebelasan utama dan berjaya menjadi salah satu tonggak utama di benteng pertahanan.
Dicampur 29 perlawanan musim ini, pemain kebangsaan itu sudah merekodkan 92 aksi untuk Sabah dan Dominic juga merekodkan lima gol serta dua bantuan jaringan untuk membantu Sabah kekal konsisten dalam semua pertandingan.
Selain bawa watak bek tengah utama, Dominic juga merupakan ketua pasukan untuk Sabah. Sikap kepimpinannya pasti akan menjadi sebab pihak pengurusan akan sayang untuk melepaskan khidmat pemain itu.
3) Damien Lim
Damien antara penjaga gol sedang meningkat naik dalam saingan Liga Malaysia. — Facebook/SabahFC
Kehadiran Damien Lim pada 2022 disambut baik oleh pengurusan dan penyokong Sabah FC, memandangkan dia merupakan antara penjaga gol muda tempatan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan sebelum ini.
Sejak bersama The Rhinos, Damien diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama Sabah. Refleks yang pantas, kawalan kawasan yang baik, serta keberanian keluar dari kotak penalti menjadikannya antara pilihan utama untuk mengawal gawang.
Pada musim 2022, Damien mencatatkan sejumlah dua clean sheet. Musim berikutnya, Damien mencatatkan tiga clean sheet. Manakala, saingan musim ini menyaksikan penjaga gol berusia 28 tahun itu merekodkan enam clean sheet dalam semua 16 perlawanan dia diturunkan.
Peningkatan jumlah clean sheet itu mencerminkan kematangan Damien sebagai penjaga gol serta keyakinan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan Sabah FC. Konsistensinya menjaga gawang telah membantu pasukan mengekalkan rekod pertahanan yang kukuh dalam pelbagai pertandingan.
Damien dijangka terus memainkan peranan penting dalam usaha pasukan memburu kejayaan domestik dan serantau. Prestasi cemerlangnya setakat ini menjadikannya antara penjaga gol tempatan yang patut diberi perhatian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram