
TIMBUL spekulasi bahawa tonggak pinjaman Kuching City FC, Danial Amier bakal kembali ke Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tamat tempoh pinjamannya pada 30 April ini.
Tonggak tengah itu merupakan pemain pinjaman dari JDT II dan dikhabarkan sudah bersedia untuk kembali ke pangkuan Harimau Selatan selepas menyarung jersi Kuching City sepanjang musim ini.
Khabar angin itu tercetus selepas pemain berketinggian 1.75 meter itu memuat naik hantaran di Insta Story yang memberi isyarat akan meninggalkan bumi Sarawak.
BACA LAGI: Dicanang ke Selangor FC, fans Gergasi Merah sebaliknya tolak mentah-mentah Saddil Ramdani
Tangkap layar Insta Story Danial Amier.
Meskipun tiada mesej jelas ditinggalkan, barang-barang peribadi seperti beg sudah cukup untuk menjawab persoalan penyokong The Cats.
Ramai yang berharap pemain berusia 28 tahun itu kekal lebih lama bagi memperkukuhkan jentera tengah Kuching City untuk musim akan datang.
Sekiranya Danial benar-benar kembali ke JDT, persoalan utama yang timbul ialah sama ada dia akan diberikan peluang untuk menyertai skuad utama Harimau Selatan atau sekadar memperkuatkan JDT II.
Namun, dengan pembubaran saingan Piala MFL musim depan, perancangan masa depan pemain-pemain muda JDT II kini menjadi lebih tidak menentu.
Situasi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada Danial akan kekal bersama JDT atau dipinjamkan semula ke pasukan lain bagi memastikan dia terus mendapat minit permainan yang konsisten.
Bersama Kuching City, Danial telah membuat 17 penampilan dalam saingan Liga Malaysia, dengan menyumbang satu gol dan dua bantuan jaringan.
Dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan bersama Kuching City musim ini, Danial pastinya mahu terus beraksi di peringkat tertinggi dan bukan sekadar memanaskan bangku simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram