
SELEPAS tiga perlawanan tewas, Terengganu FC (TFC) akhirnya merekodkan kemenangan dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-0 dalam aksi terakhir Liga Super musim 2024/2025 pada Ahad.
Skuad Sang Penyu sebelum ini gagal mendapatkan tiga mata selepas tewas kepada PDRM FC dan Selangor FC dengan keputusan 0-1 dan mencatatkan seri 2-2 ketika menentang Sabah FC pada 7 Mac lepas.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu itu menyaksikan babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mencipta peluang.
BACA LAGI: 'Selamat tinggal, Kedah'
BACA LAGI: Satu tajaan saja tak cukup, Kedah perlukan inisiatif tambahan
Kedah pada awalnya sudah mendapatkan dua gol daripada percubaan Amirul Hisyam Awang Kechik dan Milos Gordic namun kedua-duanya dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan kedudukan mereka ofsaid.
Detik yang ditunggu-tunggu untuk jaringan pertana akhirnya hadir apabila Safawi Rasid muncul wira dengan menyempurnakan hantaran cantik dari Engku Nur Shakir untuk membuka tirai jaringan sebelum wisel rehat.
Memasuki separuh masa kedua, Terengganu terus memberi tekanan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-74 menerusi Ubaidullah Shamsul yang menanduk masuk bola untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Ketika permainan hampir tamat, tonggak tengah, Nurillo Tukhtasinov melengkapkan malam penuh bergaya Terengganu dengan gol ketiga dalam masa tambahan, sekaligus memadam terus harapan skuad pelawat.
Meskipun pasukan bimbingan Victor Andrag tidak memberi sekurang-kurangnya gol saguhati pada aksi terakhir itu, pemain Sang Kenari masih menerima pujian daripada penyokong mereka.
“Permian Kedah malam ini memang nampak menarik, terbaik KDA FC. Tadi patut boleh seri tapi VAR puni pasal,” kata penyokong Sang Kenari, Noor Eisyam.
“Permian dah nampak banyak perubahan. Kekalkan terus pemain muda lokal dalam pasukan pada musim depan,” komen penyokong Hijau Kuning, Mohd Ridhuan.
Dengan kejayaan ini, Terengganu mengakhiri kempen Liga Super 2024 di kedudukan kelima dengan 35 mata. Sementara itu, Sang Kenari pula menamatkan musim di tangga ke-11 setelah mengutip 21 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram