Lepas sebulan berstatus ejen bebas, Luka Milunovic sertai Nemanja Vidic di kelab kerdil Serbia


  • Podium
  • Selasa, 18 Feb 2025

Luka meninggalkan skuad TBG pada penghujung Disember dengan reputasi yang bercampur-baur ditinggalkan. — Facebook/MFL

PADA penghujung Disember lalu, kem Perak FC dilanda berita kurang menyenangkan apabila tiga pemain import meninggalkan kelab Utara tanah air itu selepas kontrak masing-masing tidak disambung.

Antara mereka yang mengucapkan selamat tinggal kepada skuad The Bos Gaurus (TBG) ialah penyerang kelahiran Serbia, Luka Milunovic yang menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua musim 2023.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pemain tersebut kerap dikritik kerana kurang konsisten di atas padang dengan hanya tujuh gol dan empat bantuan jaringan direkodkan dalam 29 penampilan secara keseluruhan.

BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata

BACA LAGI: Milunovic wira tidak disangka-sangka akhiri kebuntuan Perak FC di tempat sendiri

Bagaimanapun, ketika pengumuman mengenai perpindahannya dibuat, sebahagian besar penyokong Perak FC seakan-akan kecewa atas keengganan pihak pengurusan memberi kontrak baharu buatnya.

Namun, dengan perbincangan antara kedua-dua pihak sudah diadakan, Luka mengambil keputusan meninggalkan skuad TBG yang sekali gus menyaksikannya tidak beraksi buat mana-mana pasukan.

Pemain itu sepatutnya boleh disambar kelab Liga Super mahupun sekitar Asia Tenggara memandangkan dia sebelum ini pernah beraksi buat Melaka United dan Sabah sebelum menyertai pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu.

Tetapi, dengan tiada sebarang tawaran diterima, penyerang berusia 32 tahun itu kemudian mengambil keputusan pulang ke Eropah dengan harapan terdapat kelab berminat akan khidmatnya.

Penantian bekas pemain skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Serbia itu akhirnya berakhir pada Jumaat lalu setelah dia diumumkan sebagai rekrut pasukan kerdil di negara kelahirannya, FK Vozdovac.

WhatsApp_Image_2025-02-18_at_12.16.22_PM

Vidic (kanan) pernah beraksi buat Negeri Sembilan yang berada dalam Liga Perdana pada 2017. Berita Harian

Pasukan yang bersaing di divisyen kedua itu sememangnya mengharapkan sentuhan bekas pemain Perak FC itu memandangkan ketika ini, mereka tidak mempunyai bintang dikenali ramai.

Namun, apa yang menarik mengenai skuad bimbingan Dejan Duricic itu adalah kerana salah seorang daripada pertahanan mereka bernama Nemanja Vidic yang amat sinonim dengan penyokong Manchester United.

Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati bek tengah terbabit tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan bekas tonggak skuad The Red Devils berkenaan meskipun dia juga merupakan kapten pasukan FK Vozdovac.

Lebih menarik lagi, pemain berkenaan sebenarnya pernah beraksi dalam Liga Perdana bersama Negeri Sembilan pada 2017 ketika skuad Jang turut dibarisi import lain seperti Lee Tuck, Bruno Suzuki dan Marko Simic.

Kehadiran Luka buat kelab baharunya itu pasti amat menarik untuk disaksikan memandangkan mereka kini menduduki tangga keenam selepas 21 perlawanan dengan sembilan mata diperlukan untuk menduduki tangga teratas carta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram