
PENYOKONG tanah air pasti masih mengingati Paolo Rangel, nama yang pernah menggegarkan kancah Liga Super Malaysia ketika bersama kelab Perak, Selangor FC, Terengganu FC (TFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah FA.
Walaupun sudah mencecah usia 40 tahun, Rangel nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu menggantung but apabila sekali lagi mencuri tumpuan dengan mencipta nama sebagai penyerang digeruni di tanah kelahirannya sendiri iaitu Brazil.
Kini bersama kelab Castanhal di Divisyen Empat Brazil, pemain berketinggian 1.89 meter itu mencatatkan enam gol dalam sembilan perlawanan, satu pencapaian yang luar biasa bagi pemain seusianya.
BACA LAGI: Bukan hanya JDT, Terengganu, Selangor dan Pahang pernah pecah tabung bayar gaji pemain
Dengan enam gol dalam sembilan perlawanan bersama Castanhal, tidak mustahil Rangel akan menambah koleksi jaringannya musim ini. Jika momentum itu berterusan, dia berpotensi untuk menjadi penjaring utama pasukan dan membawa Castanhal ke tahap yang lebih tinggi dalam liga.
Keupayaan fizikal dan ketajaman penyudah yang masih dimiliki Rangel membuktikan bahawa semangat dan dedikasi mampu mengatasi faktor usia. Malah, ramai peminat menganggapnya masih berbisa seperti zaman kegemilangannya di Liga Super Malaysia.
Peminat bola sepak Malaysia pasti tidak akan melupakan detik-detik gemilang Rangel, terutama ketika bersama Selangor pada musim 2014 apabila memenangi Kasut Emas dengan jaringan yang begitu konsisten dan memukau.
Dalam musim itu sahaja, Rangel menjaringkan 16 gol dalam 19 perlawanan liga, sekaligus meletakkan dirinya antara penyerang import terbaik yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas satu musim yang cemerlang bersama Gergasi Merah, penyerang tersebut berkelana ke Terengganu pada 2015 dan pada tahun seterusnya, Rangel dipinang skuad Harimau Selatan pada musim 2016.
Ketika di JDT, Rangel gagal mendapat tempat dalam pasukan tersebut dan ditolak ke JDT II. Rangel membuktikan dia Fpeledak sejati dengan menjaringkan 19 gol daripada 18 penampilan dengan pasukan tersebut.
Rangel kemudian bermain di Brazil dan kembali semula ke Asia Tenggara menyertai Nakhon Ratchasima. Kelab terakhirnya dalam saingan Liga M ialah Kedah FA apabila dia menyertai Sang Kenari dari musim 2018 hingga 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram