Kelompok pertengahan liga tetap jadi sasaran Perak FC berbaki 4 aksi lagi


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Perak FC sekadar berpuas hati apabila berhasil mengekang JDT daripada berpesta gol dalam saingan Liga Super baru-baru ini. — Facebook/Perakfc

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

ANDAI Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadikan kayu pengukur atau tolok penyukat, maka Yusri Che Lah boleh berpuas hati bahawa Perak FC (PFC) kendaliannya dapat berbaris sebagai pasukan ketiga terbaik dalam kalangan lawan yang ditundukkan juara Liga Super musim ke-11 berturut-turut itu.

Membandingkan dengan Kuching City FC dan Terengganu FC yang masing-masing tewas 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, PFC masih boleh meraih sedikit sagu hati pada Isnin dalam kejayaan mengekang Harimau Selatan – dalam perlawanan yang mengesahkan kejuaraannya dalam Liga Super sekali lagi – daripada meraikannya dengan berpesta gol.

“Tewas sikit ni rasanya setiap jurulatih akan berasa bersyukur kerana di sini (SSI), paling sikit Terengganu dan Kuching 2-1, selebihnya atas tiga, empat dan lima gol.

“Jadi, kita hadir ke sini seboleh-bolehnya kita akan kurangkan defisit jaringan kerana kita antara pasukan yang banyak bolos dalam liga. Dan hari ini, dengan dua jaringan yang kita lepas bermakna (perbezaan jaringan) kita negatif satu balik,” katanya selepas perlawanan itu.

BACA LAGI: 'Beri ruang kepada JDT hadapi cabaran ACLE', aksi final Piala Malaysia pada 12 April

BACA LAGI: 'Macam berjanji,' 4 aksi Liga Super raih keputusan seri termasuk kelab Borneo

Di samping penyerang, Clayton da Silva, yang digantung dalam perlawanan itu, enam daripada pemain kesebelasan permulaan PFC -- Luciano Guaycochea, Firdaus Saiyadi, Tommy Mawat Bada, Adilet Kanybekov, Fadhil Idris dan Azfar Fikri Azhar – sudah menghimpun dua kad kuning, ditambah dengan A. Shivan Pillay yang turun sebagai pemain gantian.

“Memang kita sarankan pemain-pemain tidak melakukan terjahan keras. Kita takut akan kehilangan pemain untuk beraksi dalam perlawanan berikut menentang Negeri Sembilan di tempat sendiri. Rugi seandainya pemain-pemain yang saya katakan ini menerima penggantungan,” tambahnya.

Kekalahan itu – yang pertama buat PFC selepas tujuh perlawanan di tempat lawan musim ini – bagaimanapun masih mengekalkan The Bos Gaurus (TBG) dalam kelompok enam teratas liga dengan 23 mata daripada 20 perlawanan, dengan berbaki empat perlawanan – menentang Negeri Sembilan FC (8 Mac) H, Kuala Lumpur City FC (6 April) A, Sri Pahang FC (19 April) H dan Sabah FC di Kota Kinabalu yang belum ditetapkan tarikhnya.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah (kiri) berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan bertemu JDT. — Facebook/Perakfc

Tangga keenam itu bermakna PFC berada betul-betul di atas garis pertengahan carta liga mengandungi 13 pasukan berbanding lebih satu pasukan pada musim 2023.

Mengekori rapat mereka ialah KLCFC (22 mata) dan PDRM FC (21 mata), yang masing-masing mempunyai satu dan dua perlawanan dalam tangan.

“Tapi malam ini bila kita tewas, pasukan-pasukan di bawah kita – KL, PDRM mahupun Kedah dan Penang – akan beraksi (selepas ini). Seandainya menang mereka akan memintas kami.

“Dalam masa sama kita sudah melalui (cabaran) JDT. Kita ada peluang yang terbuka ataupun masih lagi 50-50 untuk empat perlawanan yang akan datang. Jadi, dua perlawanan home kita perlu mengutip mata penuh.

“Ya, Kami berkeinginan untuk berada di kelompok pertengahan liga tapi apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak. Tiada siapa yang beri kami keyakinan untuk berada di tahap ini,” kata Yusri.

Penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli antara pemain yang dilihat bekerja keras dalam mengekang serangan bertali arus JDT. — Facebook/Perakfc

Jurulatih berusia 48 tahun itu dalam satu temu bual dengan Bola Pegun menjelang tahun baharu 2025 melahirkan harapan tidak sekadar mahu melihat PFC meningkat dari tangga ketujuh liga ketika itu, malah turut mengelakkan rekod bolos 55 gol ketika menduduki tangga ke-11 pada akhir musim 2023.

Selepas 20 perlawanan musim ini, skuad TBG itu baru dibolosi 34 gol dengan perbezaan jaring-bolos -1, dengan rekod bolosnya cuma lebih baik daripada NSFC (41) dan Kelantan Darul Naim FC (56).

“Kami tak begitu kuat tapi kami sentiasa menjaringkan gol (33 golnya sama dengan Selangor FC dan mengatasi sembilan pasukan lain).

“Kami antara pasukan yang menjaringkan gol banyak tapi malangnya kami juga antara pasukan yang melepaskan gol yang banyak,” ujarnya.

Situasi mendebarkan buat Perak dalam mengeluarkan bola daripada pintu gawang mereka. — Facebook/Perakfc

Tambah menyukarkan cabaran PFC selepas ini ialah kehilangan empat pemain import. Selepas pemain sayap, Lee Tae-min, bek tengah, Jesper Nyholm, dan pemain tengah menyerang, Luka Milunovic, tidak dilanjutkan kontrak, pemain pertahanan, Luiz Motta, pula terkeluar hingga akhir musim selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki.

Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan pemain-pemain muda yang diberi peluang beraksi, Yusri berkata, secara keseluruhannya masih ada perkara yang perlu mereka pelajari dan menuntut mereka memanfaatkan sepenuhnya empat perlawanan yang tinggal.

“Dalam masa sama saya perlukan pemain import untuk memberikan pemain-pemain muda ini harapan dan galakan dalam padang.

“Ini sepatutnya tahun kedua mereka (pemain-pemain muda) bersama dengan saya. Dan untuk tahun berikutnya, seandainya saya diberi peluang untuk membawa pasukan ini, mereka harus tidak lagi memberi alasan mereka tidak ada pengalaman, sebaliknya perlu menggunakan setiap peluang yang diberikan,” katanya lagi.

Dengar tu pengurusan PFC, Yusri sudah menyatakan harapan untuk diberi peluang terus membimbing Perak, yang boleh mengisi kuota importnya dengan pemain-pemain lebih berkualiti menjelang musim baharu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram